SHAH ALAM - Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan bahawa kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak disukai sesetengah rakyat kerana tidak meneruskan amalan pentadbiran lama yang memberi 'duit percuma'.
Memetik laporan Malaysiakini, Mahathir berkata, bebanan hutang yang banyak adalah punca mengapa PH tidak mampu untuk melakukan perkara yang sama.
"Kerajaan lama suka beri wang percuma kepada rakyat, semua orang dapat wang percuma.
"Tapi kini kita (PH) sudah ambil alih, kita perlu tanggung hutang beban hutang, kita tak ada duit dan kita tak boleh beri duit percuma," katanya pada Persidangan Antarabangsa ke-25 mengenai Masa Depan Asia: Mencari Tata Global Baru di Tokyo hari ini.
Dr Mahathir berkata demikian apabila ditanya ketidakpuasan hari rakyat terhadap kerajaan PH terutamanya orang Melayu baru-baru ini.
Mahathir pada masa sama berkata, disebabkan bebanan hutang yang ada, kerajaan perlu sentiasa berhati-hati dan cermat dalam menguruskan kewangan negara.
"Apabila kita tak beri duit percuma, orang tak suka kita," katanya.
Katanya lagi, amalan pemberian wang percuma yang dilakukan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) telah menyebabkan rakyat terlalu bergantung kepada bantuan seperti itu.
"Kita mahu betulkan perkara ini. Negara yang rakyatnya bergantung kepada duit percuma daripada kerajaan tidak akan berkembang. Hanya negara yang rakyatnya bekerja keras akan berkembang," katanya.