Sangka pelampung ikan rupanya mayat

Iklan
Penduduk Kampung Pasir Pekan, Mohd Nasir Abdul Kadir, 53, menunjukkan mayat warganegara Thailand yang ditemui terapung ditarik dengan bot ke jeti Pasir Pekan.

TUMPAT - Objek terapung disangka pelampung ikan rupanya mayat seorang lelaki di sungai Kelantan dekat Kampung Kutan, hari ini.

Mayat warganegara Thailand berusia 42 tahun itu ditemui seorang nelayan, Mohd Juhari Nawang, 47, ketika dia ke sungai untuk mengangkat bubu udang pada jam 6.45 pagi.

Iklan
Iklan

Mayat tersebut kemudiannya ditarik Mohd Juhari dengan bot ke jeti Pasir Pekan, di sini.

Mohd Juhari berkata, mayat itu ditemui terapung kira-kira 2km dari jeti Pasir Pekan berhampiran pulau dekat Kampung Kutan di sini.

Iklan

"Saya nampak objek itu terapung-terapung tidak jauh dari bubu saya dan dalam keadaan samar-samar pagi itu saya sangkakan pelampung ikan.

"Tanpa pedulikan objek itu, saya terus mengangkat bubu udang sehingga selesai namun rasa curiga apabila kali ini objek itu dilihat seperti kepala orang.

Iklan

"Saya hidupkan enjin bot dan terus menghampiri objek itu untuk melihat lebih dekat dan sah objek itu adalah mayat seorang lelaki yang berseluar track dan baju t," katanya ditemui di jeti Pasir Pekan di sini.

Mayat warganegara Thailand ditemukan terapung di dalam Sungai Kelantan diusung anggota bomba Wakaf Bharu dan polis untuk dihantar ke Hospital Tumpat.

Menurutnya, khuatir mayat itu tenggelam, dia mengikat mayat dan menariknya dengan bot untuk dibawa pulang ke jeti di Pasir Pekan.

Katanya, dia kemudiannya menghubungi rakan-rakannya apabila tiba di jeti Pasir Pekan dan kemudiannya menghubungi polis untuk memaklumkan penemuan mayat itu.

"Tidak ada rasa takut ketika tarik mayat itu, ini bukan kejadian pertama kali dalam hidup saya berdepan situasi cemas ini.

"Lagi pun saya pernah terlibat dalam pencarian orang mati lemas terjatuh dari Jambatan Sultan Yahya Petra di sungai Kelantan ini," katanya.

Sementara itu, Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Wakaf Bharu, Pegawai Bomba Kanan II, Mahadi Alwi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung penemuan mayat pada jam 10.30 pagi.

Katanya, sembilan anggota bergegas ke lokasi kejadian untuk mengangkat mayat yang terapung di gigi sungai Kelantan dekat jeti Pasir Pekan.

"Mayat diserahkan kepada pihak polis untuk dihantar ke Hospital Tumpat," katanya.