MELAKA TENGAH - Kempen World #Quran Hour yang digerakkan Yayasan Warisan Ummah Ikhlas berperanan menarik masyarakat mengubah ekosistem sedia ada untuk kembali kepada sistem berteraskan al-Quran.
Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, program itu bertepatan dengan matlamatnya untuk melahirkan sebuah legasi masyarakat yang bertindak dan berfikir menurut acuan al-Quran.
Menurutnya, lebih penting penganjuran itu sebagai medium dan peluang kepada masyarakat terutama penjawat awam negeri ini untuk berinteraksi dengan al-Quran melalui baca, faham dan amal.
Katanya, kerajaan negeri menyokong penuh usaha murni seumpama ini dalam memastikan masyarakat khususnya yang beragama Islam sama ada di peringkat bangku sekolah mahupun usia emas dapat mengambil peluang dan memastikan al-Quran itu sentiasa dekat di hati.
"Ia sebenarnya mengajak masyarakat mendalami intipati al-Quran dan tidak sekadar membaca dan menghafaz tanpa mampu menghayati isi dan pesanan yang disampaikan oleh ALLAH SWT.
"Kempen World #Quran Hour turut menggalakkan masyarakat berinteraksi dengan al-Quran melalui kaedah tadabbur iaitu memahami dan tazakkur, mengingati," katanya.
Adly berkata demikian dalam teks ucapan dibacakan Speaker DUN negeri, Datuk Omar Jafaar ketika majlis perasmian tadarus dan khatam al-Quran World #Quran Hour peringkat negeri dan pelancaran Pustaka Mini di Masjid Cina Krubong di sini hari ini.
Hadir sama Mufti negeri, Datuk Halim Tawil; Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Md Azhan Samat dan Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Melaka (PERPUSTAM), Mohamed Aizammuddy Mohamad Idris.
Tambahnya, usaha yang dilaksanakan oleh pihak JAIM dan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) bersama Rumah Ngaji dan Sahabat Al-Quran perlu disokong agar dapat dilaksanakan secara berterusan walaupun pada bulan-bulan yang lain selain Ramadan.
Dalam perkembangan lain, Adly berkata, penubuhan perpustakaan di tempat tumpuan orang ramai seperti di masjid akan dapat menjadi satu nilai tambah kepada rumah ibadat dalam mempelbagaikan aktiviti dan pengisian yang akhirnya memberi impak besar kepada masyarakat.
"Saya harap PERPUSTAM dapat meneruskan usaha murni berkolaborasi dengan lebih banyak masjid di negeri ini bagi menubuhkan perpustakaan masjid yang dilihat dapat menyumbang dalam mengimarahkan masjid," katanya.
Dianggarkan seramai 1,000 orang hadir menjayakan program itu termasuk penjawat awam negeri, warga Rumah Ngaji dan Pertubuhan Sahabat Al-Quran Negeri Melaka.