KUALA LUMPUR - Indeks Harga Pengeluar (IHPR) pengeluaran tempatan turun sebanyak 1.4 peratus pada April 2019 berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya.
Sektor-sektor yang mencatatkan penurunan semasa bulan ini ialah pertanian, perhutanan dan perikanan (-11.9 peratus), bekalan air (-2.6 peratus) dan pembuatan (-0.8 peratus), kata Jabatan Perangkaan Malaysia dalam satu kenyataan hari ini.
"Bagaimanapun, indeks bekalan elektrik dan gas dan perlombongan masing-masing meningkat sebanyak 1.5 peratus dan 1.4 peratus,” kata jabatan itu.
Berbanding bulan sebelumnya, IHPR pengeluaran tempatan meningkat 0.6 peratus pada April.
"Peningkatan itu disumbang oleh indeks perlombongan (+6.9 peratus), pertanian, perhutanan dan perikanan (+1.0 peratus) dan bekalan air (+0.1 peratus),” kata Jabatan Perangkaan.
Sementara itu, indeks bekalan elektrik dan gas dan pembuatan masing-masing mencatatkan penurunan sebanyak 0.8 peratus dan 0.2 peratus.
IHPR pengeluaran tempatan dari Januari-April 2019 mencatatkan penurunan 2.0 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas.
Jabatan Perangkaan berkata, IHPR pengeluaran tempatan di semua peringkat pemprosesan menunjukkan penurunan pada April berbanding bulan yang sama tahun lepas.
Penurunan ini disumbang oleh indeks bahan perantaraan, bekalan dan komponen (-1.8 peratus), bahan mentah untuk diproses selanjutnya (-1.5 peratus) dan barang siap (-0.4 peratus).
Bagi perbandingan bulanan, IHPR pengeluaran tempatan mengikut peringkat pemprosesan pada April meningkat 0.6 peratus disumbang oleh bahan mentah untuk diproseskan selanjutnya sebanyak 4.0 peratus.
Sebaliknya, indeks bagi bahan perantaraan, bekalan dan komponen dan barang siap masing-masing menurun sebanyak 0.3 peratus dan 0.3 peratus. - Bernama