KEPALA BATAS - Pulau Pinang mencatatkan kadar kes kanser payudara tertinggi dalam kalangan wanita di negeri ini dengan 50 kes bagi setiap 100,000 wanita, kata Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh.
Beliau berkata, selepas Pulau Pinang ia diikuti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya dengan 42 kes bagi 100,000 wanita serta Johor (39 kes bagi 100,000 wanita).
Pulau Pinang mencatatkan kadar tertinggi disebabkan kaum wanita di negeri itu mempunyai kesedaran yang sangat tinggi berhubung kanser payudara dengan menjalankan pemeriksaan awal di hospital, klinik dan agensi berkaitan seperti Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN).
"Kerajaan Persekutuan melalui LPPKN pada tahun ini memperuntukkan RM20 juta khusus untuk wanita di seluruh Malaysia melibatkan tiga program. Sejumlah RM11.4 juta diperuntukkan bagi Program Subsidi Ujian Mamogram, Program Vaksinasi Human Papilloma Virus percuma (RM5 juta) dan Program Rintis Saringan Kanser Serviks (RM3.6 juta).
"Program-program ini dilaksanakan di seluruh Malaysia melalui Klinik Nur Sejahtera LPPKN," katanya pada sidang media selepas menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Program Saringan Mamogram Percuma (Mammo Penang) antara Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan LPPKN Pulau Pinang, di sini hari ini.
Pada majlis itu, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Datuk Azhar Arshad mewakili Kerajaan Negeri manakala LPPKN Pulau Pinang diwakili oleh Ketua Pengarah LPPKN Malaysia Abdul Shukur Abdullah.
Hannah berkata, pihaknya menyambut baik usahasama Kerajaan Pulau Pinang dan LPPKN untuk kesejahteraan wanita di negeri ini dan berharap negeri lain dapat mengikut contoh Pulau Pinang.
Beliau berkata, Program Subsidi Ujian Mamogram LPPKN menyasarkan 47,000 wanita dalam kalangan isi rumah berpendapatan rendah di seluruh Malaysia akan mendapat manfaat bagi menjalani ujian mamogram tahun ini.
"Tahniah saya ucapkan kepada LPPKN Pulau Pinang kerana dipilih oleh kerajaan negeri sebagai agensi pelaksana bagi program ini bermula pada 1 Mac 2019 hingga 28 Feb 2022. Saya difahamkan bahawa peruntukan RM2.658 juta telah diluluskan untuk program Mammo Penang bagi tempoh tiga tahun.
"Kaum wanita Pulau Pinang sangat bertuah kerana di samping kuota mamogram sebanyak 1,500 wanita daripada Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Pulau Pinang bersetuju untuk membiayai 5,000 wanita untuk ujian mamogram percuma menjadikan 6,500 wanita yang layak akan mendapat manfaat melalui saringan kanser payudara pada tahun ini," katanya.- Bernama