Piagam UMNO-Pas percepatkan pereputan dua parti

Iklan
Mahfuz (dua, kanan) meninjau penggunaan kad KIDA oleh penerima, Zaleha Zakaria (empat, kanan) ketika membeli-belah di Pasaraya Econsave Pokok Sena.
POKOK SENA - Piagam UMNO-Pas yang bakal dimeterai selepas Aidilfitri hanya akan mempercepatkan proses pereputan kedua-dua parti terbabit.

Naib Presiden Amanah, Datuk Mahfuz Omar berkata, ini kerana kedua-dua parti itu sering dilihat tidak senada dalam pandangan, selain kesukaran ahli kedua-dua parti untuk menerima kerjasama itu yang selama ini dianggap ‘tidak mungkin berlaku’.

Menurutnya, sehubungan itu tiada keperluan untuk Pakatan Harapan (PH) berasa gentar dengan piagam berkenaan yang kini di peringkat akhir penelitian kedua-dua parti itu.

"Saya fikir pemimpin PH tidak gentar dengan wujudnya piagam itu, sebaliknya menguntungkan PH. Bagi saya, itu satu proses yang akan mempercepatkan pereputan UMNO mahupun Pas,” katanya, selepas meninjau penerima Kad Kasih Ibu Darul Aman (KIDA) menggunakan kad pintar itu membeli-belah di Econsave Pokok Sena.

Mahfuz berkata, dengan termeterai piagam itu juga akan memberi gambaran sebenar pendirian parti kalangan ahlinya, yang masih keliru dengan kerjasama itu.

"Selama ini sukar untuk dipercayai oleh ahli kedua-dua parti, khususnya ahli Pas kerana sering dinafikan pemimpin mereka kerjasama itu tak mungkin berlaku. Sekarang secara nyata, ahli Pas dan penyokong dapat pastikan apa yang didakwa saya sebelum ini mengenai wujudkan hubungan mesra itu,” katanya.

Menurutnya, malah demi mempertahankan dakwaan, pemimpin Pas sanggup mencemuh dan mempersalahkan dirinya serta beberapa bekas pemimpin parti itu yang kini menyertai Amanah, kononnya parti itu difitnah ahli sendiri.

"Sekarang terbukti ia adalah realiti, malah diperakui Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa usaha itu dilakukan secara senyap ketika beliau masih Perdana Menteri bersama Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang,” katanya.

Mahfuz juga yakin lebih ramai ahli Pas bakal meninggalkan parti itu selepas piagam dimeterai.

"Saya percaya ahli UMNO masih tak boleh terima Pas, ahli Pas juga tak boleh terima UMNO dengan mudah. Akhirnya menyebabkan berlaku proses pereputan, ini pasti beri keuntungan kepada PH sebab ahli kedua-dua parti itu akan berhijrah ke PH,” katanya.

Menurutnya, ini juga akan menyebabkan hanya ahli tegar kedua-dua parti masih setia dan mengharapkan keajaiban akan berlaku.

"Ahli Pas makin bijak, sudah tentu pelik melihat ahli UMNO keluar parti, dan pada masa sama Pas mahu bekerjasama dengan parti itu. Sebelum ini ahli Pas ditarbiah untuk perangi UMNO habis-habisan, kini disuruh pula jadi tongkat untuk julang kembali UMNO,” katanya.