Enam kes dadah libatkan anggota polis di Melaka

Iklan
126553

MELAKA - Sebanyak enam kes melibatkan penyalahgunaan dadah, dalam kalangan anggota polis direkodkan di negeri itu dalam tempoh Januari hingga April tahun ini, meningkat lima kes berbanding satu kes dalam tempoh sama tahun lepas.

Ketua Polis Melaka Datuk Raja Shahrom Raja Abdullah berkata kes salah laku melibatkan anggota kontinjen Melaka pula menurun sebanyak 10 kes, kepada 13 kes dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini berbanding 23 kes dalam tempoh sama tahun lepas.

Iklan
Iklan

Beliau berkata bagi rasuah pula, tiada kes direkodkan dalam tempoh sama tahun ini, berbanding satu kes pada tahun lepas.

"Aspek integriti adalah amat penting dalam menjamin penyampaian perkhidmatan terbaik seluruh warga Polis Diraja Malaysia (PDRM), khususnya di Kontinjen Melaka ini kepada masyarakat.

Iklan

"Justeru warga PDRM Melaka perlu sentiasa berada di landasan yang betul, iaitu kembali kepada perkara asas dan mematuhi prosedur dan peraturan yang telah ditetapkan semasa menjalankan tugas," katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka di sini, hari ini.

Pada perhimpunan itu, seramai 83 penerima dalam kalangan anggota dan pegawai polis kontijen itu serta orang awam menerima sijil penghargaan Ketua Polis Melaka.

Iklan

Raja Shahrom berkata pihaknya mengambil serius penglibatan anggota kontinjen berkenaan dalam penyalahgunaan dadah, kerana ia memberi imej negatif pada Kontijen Melaka malah menjejaskan perkhidmatan anggota terlibat.

Beliau berkata tindakan tegas akan diambil terhadap anggota terlibat, termasuk tindakan tatatertib dan buang kerja sekiranya didapati bersalah oleh mahkamah.

Sementara itu, katanya seramai 22 anggota dan pegawai di kontijen itu diberi intervensi iaitu kaunseling, runding cara dan nasihat atau bimbingan dalam tempoh Januari hingga April tahun ini, berbanding 203 orang dalam tempoh sama tahun lepas.

"Kita sentiasa membantu anggota atau pegawai yang mempunyai masalah peribadi atau kerja dengan memberikan kaunseling, nasihat atau bimbingan agar masalah yang dihadapi tidak menjejaskan kualiti perkhidmatan dan membebankan mereka," katanya. - Bernama