PUTRAJAYA - Notis akan dihantar kepada 46 pengurus dewan orang ramai selepas sambutan perayaan Aidilfitri bagi menyerahkan pengurusan dewan orang ramai untuk diambil alih oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpu (DBKL), kata Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad.
Beliau berkata notis tersebut mungkin yang terakhir selepas beberapa notis dihantar kepada 46 pengurus dewan tersebut namun masih tidak mendapat kerjasama yang sewajarnya.
Sekiranya pengurus terlibat masih enggan menyerahkan dewan tersebut, kementerian akan mendapatkannya semula menerusi lunas undang-undang, katanya.
"Kita harap ianya dapat diselesaikan dengan baik dan tidak perlu untuk kita mengambil tindakan yang keras bagi mengambil alih dewan tersebut kerana perkara ini adalah untuk kepentingan awam,” katanya pada sidang media hari ini.
Setakat ini, sebanyak 157 dewan orang ramai telah berjaya diambil alih oleh DBKL yang sebelum ini diurus oleh parti-parti politik, persatuan penduduk, badan bukan kerajaan, agensi kerajaan, badan pengurusan bersama, katanya.
Dewan-dewan tersebut terletak di kawasan perumahan awam, perumahan rakyat, tanah DBKL, rizab DBKL, rizab selain DBKL, tanah kerajaan dan Pesuruhjaya Tanah Persekutuan di sekitar ibu kota.
"Kita mahu mengambil alih dewan-dewan ini agar pengurusannya menjadi lebih neutral dengan tiada unsur kepentingan politik dan sekiranya nanti disewakan, hasilnya akan diperoleh oleh DBKL atau persatuan penduduk, bukannya untuk kumpulan tertentu,” katanya.
Khalid berkata tindakan tersebut bukan bermotifkan politik sebaliknya membetulkan keadaan pentadbiran terdahulu yang telah bertindak atas kepentingan politik mereka dengan menyerahkan pengurusan dewan kepada pihak-pihak yang tidak sepatutnya.
"Kita mahu pastikan dewan orang ramai ini dapat dibaik pulih serta dinaik taraf dan kemudian kembali menjadi milik orang ramai serta diurus secara profesional tanpa pilih kasih,” katanya.
Khalid berkata DBKL juga telah menyediakan garis panduan pengurusan dewan orang ramai sebagai rujukan dan panduan untuk menyerahkan dewan orang ramai kepada pihak Majlis Perwakilan Penduduk, badan bukan kerajaan, persatuan penduduk atau pertubuhan berdaftar yang berminat. - Bernama