KUALA TERENGGANU - Ops Penyamaran di atas bas ekspres bagi mengesan kesalahan dilakukan pemandu sepanjang Ops Hari Raya Aidilfitri akan diteruskan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu.
Pengarahnya, Zulkarnain Mat Yasin berkata, kaedah penyamaran ini akan dilakukan setiap hari melibatkan semua destinasi.
Katanya, langkah yang dilaksanakan itu efektif dalam mengurangkan kadar kemalangan jalan raya membabitkan kenderaan pengangkutan awam sepanjang musim perayaan.
"Kita telah menggerakkan seramai 26 anggota untuk tugas penyamaran di atas bas ekspres, jadi saya ingin memberi peringatan kepada pemandu bas agar berhati-hati kerana anggota kami dah ada di dalam bas bagi mengambil tindakan.
"Kesalahan utama yang difokuskan melibatkan tidak mematuhi lampu isyarat, memotong di garisan berkembar, menggunakan telefon bimbit semasa memandu dan memandu di lorong kecemasan," katanya ketika ditemui selepas Ops Hari Raya Aidilfitri di Terminal abas Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) malam tadi.
Menurut Zulkarnain, seramai 26 anggota digerakkan untuk tugas-tugas penyamaran ini.
"Diharap pemandu bas akan lebih berwaspada ketika memandu apabila menyedari pihak berkuasa berada di dalam kenderaan dipandu mereka," katanya.
Sementara itu, Zulkarnain memaklumkan sebanyak 91 buah bas ekspres sudah diperiksa dan daripada jumlah itu, sebanyak 86 buah lulus dalam pemeriksaan tersebut.
Dalam masa sama, Zulkarnain berkata, seramai 270 pegawai dan anggota akan ditugaskan sepanjang operasi Hari Raya yang bermula pada 29 Mei hingga 13 Jun ini.