UMNO sengaja alih perhatian rakyat: Zairil

Iklan
Zairil Khir Johari

GEORGETOWN - UMNO didakwa menjadikan ADUN DAP sebagai mangsa untuk mengalih perhatian rakyat terhadap penyelewengan institusi-institusi Islam di negara ini.

Naib Pengerusi DAP Pulau Pinang, Zairil Khir Johari berkata, merujuk kepada kenyataan Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor mengenai hukum bukan Islam mengagihkan bantuan membuktikan tuduhan UMNO terhadap DAP jelas tidak berasas.

Iklan
Iklan

Menurutnya, penjelasan mengenai hukum fiqah tersebut membuktikan bahawa ADUN Pulau Tikus, Chris Lee Chun Kit tidak melakukan sebarang kesalahan apabila hadir untuk menyampaikan bantuan zakat kepada golongan asnaf di kawasannya, Ahad lalu.

"Saya merujuk kepada kenyataan Mufti Pulau Pinang bahawa hukum orang bukan Islam mengagihkan bantuan zakat kepada golongan asnaf adalah harus.

Iklan

"Malangnya, Chun Kit telah menjadi mangsa kecaman hebat oleh pembangkang khususnya pemimpin UMNO seperti Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

"Kenyataan beliau bukan sahaja tidak berasas tetapi jelas berniat jahat serta bertujuan untuk menimbulkan persengketaan di antara kaum," katanya dalam satu kenyataan media tadi.

Iklan

Sebelum ini, Wan Salim berkata, hukum bagi orang bukan Islam mengagihkan bantuan zakat kepada golongan asnaf adalah harus.

Beliau berkata, dari sudut fiqah, adalah harus untuk orang bukan Islam diwakilkan sama ada untuk menerima atau mengagihkan zakat kepada golongan asnaf.

Dalam pada itu, Zairil yang juga ADUN Tanjung Bungah berkata, walaupun Chun Kit bukan beragama Islam, namun tindakan beliau mengagihkan bantuan dibuat dengan hati yang ikhlas.

Tambahnya, isu tersebut sengaja dimainkan untuk tujuan politik oleh pembangkang.

"Mereka sudah tiada isu dan modal lain sehingga terpaksa mengalih perhatian rakyat.

"Mereka sengaja mengalihkan perhatian rakyat terhadap penyelewengan yang dilakukan semasa zaman pemerintahan mereka," katanya.

Terdahulu, Ahmad Zahid mempertikaikan tindakan Chun Kit yang mencampuri urusan pengagihan zakat kepada rakyat di kawasannya.

Merujuk kepada laman Facebook Chun Kit, Ahmad Zahid juga melihat perlakuan tersebut seolah-olah lakonan semata-mata selain mengatakan ibadat zakat adalah khusus kepada orang Islam yang beriman kepada ALLAH SWT.