TOKYO - Perang perdagangan adalah satu tindakan kurang bijak yang bukan setakat tidak mempunyai sebarang matlamat, tetapi turut menjejaskan pertumbuhan ekonomi negara-negara lain termasuk Malaysia, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.
Malah, Perdana Menteri turut menyifatkan sebarang bentuk hubungan perdagangan tidak sewajarnya dijadikan satu konfrontasi.
"(Jika diberi pilihan) kita sendiri tidak mahukan perang perdagangan Amerika Syarikat (AS) dan China sekiranya perkara terbabit dapat dikendalikan oleh mereka yang lebih rasional. Malangnya, pada masa ini kita terpaksa akur bahawa perang perdagangan itu sedang berlaku dan ia menjejaskan kita.
"Kita mahukan China menjadi sebuah negara yang cukup kaya bagi membolehkan kewujudannya sebagai satu pasaran yang hebat untuk kita serta negara-negara lain," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita di Kelab Koresponden Asing Jepun di Tokyo, hari ini.
Perdana Menteri kini dalam rangka lawatan kerja tiga hari ke Jepun.
Mengulas selanjutnya, Dr Mahathir berkata China mempunyai seramai 1.4 bilion penduduk yang sudah cukup untuk menjadikannya sebuah pasaran besar untuk seluruh dunia.
Justeru, sebarang kemakmuran yang dinikmati China turut memberi manfaat di peringkat global.
"Apabila China menjadi semakin kaya, dunia akan mendapat limpahan manfaat daripada pasaran sedemikian. Dari segi imbangan dagangan pula, kita ada AS dan mahu meneruskan (usaha tersebut). Saya percaya, sebarang bentuk hubungan dagangan tidak wajar dijadikan konfrontasi," katanya.
Menurut Dr Mahathir, negara-negara lain juga perlu menerima hakikat bahawa China semakin kaya dan menggunakan aspek itu bagi melonjakkan kedudukannya.
"Ya, China banyak melakukan eksport...tapi (bagaimana pula) anda boleh berasa terancam apabila China miskin dan terus berpendirian sama apabila China kaya. Jadi, apa yang harus mereka (China) lakukan? Mereka tidak mungkin dapat berada di tengah-tengah (dua keadaan)," kata beliau dalam nada berseloroh.
Perdana Menteri berkata, Malaysia misalnya mahu melihat sikap AS dan China yang tenang dan kurang bersifat konfrontasi.
"Sama ada AS suka atau tidak, China akan muncul sebagai sebuah negara yang berkuasa. China mempunyai populasi yang jauh lebih besar daripada keseluruhan Eropah dan Amerika Utara.
"China juga boleh menjadi dunianya tersendiri dengan hanya melakukan dagangan dalam negara itu. Inilah caranya mereka berkembang pada awalnya," kata beliau.
Sambil mengakui bahawa persaingan dengan China merupakan sesuatu yang sukar, Dr Mahathir bagaimanapun yakin dengan kekuatan positif yang dimiliki AS.
Malah, AS misalnya cukup dikenali kerana kepakarannya termasuk membuat pesawat serta enjin.
"Mereka sepatutnya berharap China untuk berusaha menandingi mereka tetapi rakyat AS juga amat inovatif dan pakar daya cipta dan mereka boleh bersaing dalam bidang yang menjadi kepakaran mereka.
"Tumpukan kepada apa yang anda boleh lakukan dengan terbaik, cuba dan bersaing tetapi bukanlah untuk menguasai atau menakluk. Diplomasi (mengancam) menggunakan senjata kini sudah lapuk," tegas Perdana Menteri. - Bernama