Dicekup di kedai makan, warga emas beri alasan 'tak sihat'

Iklan
Seorang warga emas ditahan dalam serbuan kedai makan bukan Islam di Alor Janggus, di sini, hari ini.

ALOR SETAR - Alasan tidak sihat atau tidak larat antara yang sering digunakan oleh mereka yang ditangkap ketika operasi Ramadan dijalankan.

Menerusi tangkapan yang dibuat oleh sepasukan anggota penguatkuasa Jabatan Agama Islam Kedah (JAIK) di beberapa kawasan hari ini, rata-rata yang ditangkap merupakan warga emas.

Iklan
Iklan

Hasil soal siasat terhadap mereka mendapati alasan seperti itu seakan-akan 'penyelamat' terhadap mereka, namun akhirnya memakan diri sendiri.

Seorang warga emas tidak malu mengaku tidak berpuasa selama tujuh tahun sejak 2013 ketika ditahan di Kampung Teluk Dulang, Jalan Yan.

Iklan

Warga emas berusia 62 tahun terbabit memberi alasan tidak berpuasa disebabkan memiliki masalah kesihatan dan tidak tahan lapar.

Syeikh Hakimin menyoal dua lelaki yang dicekup tidak berpuasa dalam operasi di Kampung Teluk Dulang, Jalan Yan, di sini, hari ini.

Ketika disoal, lelaki terbabit memaklumkan sejak Ramadan, dia hanya mampu berpuasa selama dua hari.

Iklan

Pada hari-hari lain, dia dan makan di kedai makan itu disebabkan malu dengan ahli keluarga.

Tidak seorang diri, malah rakannya yang berusia 55 tahun turut mengaku mampu berpuasa 10 hari disebabkan menghidap penyakit dan baharu sahaja menjalani pembedahan.

Dalam operasi berkenaan, pihak JAIK turut menahan warga emas yang masing-masing berusia 65 dan 75 tahun kerana tidak berpuasa di kedai bukan Islam di Alor Janggus, di sini dengan alasan tidak sihat.

Ketika ditahan, salah seorang daripada mereka yang bekerja mengambil upah membuat batu nisan memberitahu dia singgah di kedai makan itu untuk minum selepas mengambil tempahan.

Seorang lagi warga emas yang merupakan nelayan memaklumkan dia ponteng puasa disebabkan dahaga berikutan menangkap ikan seharian di laut.

Seorang pembuat batu nisan dan nelayan berusia 75 dan 65 tahun ditahan dalam operasi di Alor Janggus, di sini, hari ini.

Kedua-dua mereka memaklumkan memilih untuk makan di kedai makan bukan Islam dan tidak makan di rumah kerana malu dengan ahli keluarga termasuklah anak dan cucu.

Selain mereka, alasan kesihatan ini juga digunakan beberapa lagi mereka yang ditangkap di sebuah kedai makan bukan Islam di Pusat Bandar Alor Setar.

Warga emas berusia 83 tahun itu mendakwa tinggal bersendirian selepas bercerai dengan isteri, tidak memiliki anak dan memiliki penyakit batu karang apabila ditahan.

Tidak hanya itu, seorang lagi lelaki berusia lingkungan 40-an yang dicekup tidak berpuasa di kedai makan bukan Islam itu memberitahu dia adalah orang kelainan upaya (OKU) mental.

Menurut Penolong Pengarah Bahagian Penguat Kuasa JAIK, Syeikh Hakimin Hassan, pihaknya mengeluarkan enam saman di bawah Seksyen 14 (b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah 2014.

"Antara alasan tidak berpuasa diberikan ialah masalah kesihatan, kerja teruk, penat dan terpaksa makan kerana perlu makan ubat selepas jalani pembedahan," katanya.

Syeikh Hakimin berkata, operasi melibatkan sepasukan 15 anggota penguatkuasa JAIK melakukan serbuan di empat lokasi, iaitu Pusat Bandar Alor Setar, Alor Janggus, Kampung Teluk Dulang dan Pekan Langgar.

Syeikh Hakimin (kanan) menyerahkan saman kepada seorang warga emas berusia 83 tahun yang dicekup tidak berpuasa di sebuah kedai bukan Islam di Pusat Bandar Alor Setar, di sini, hari ini.

Menurut beliau, operasi berkenaan bermula jam 10.30 pagi hingga 1 petang berkenaan dilaksanakan berdasarkan maklumat dan aduan orang ramai.

Syeikh Hakimin berkata, setakat ini, sebanyak 15 saman dikeluarkan melibatkan daerah Kota Setar, bagaimanapun jumlahnya adalah lebih rendah berbanding tahun lepas.

"Jadi, ia sekali gus menunjukkan tahap kesedaran orang awam supaya tidak meninggalkan amalan puasa makin tinggi berikutan bilangan saman makin kurang berbanding tahun lepas," katanya.

Beliau turut menasihatkan orang Islam untuk tidak makan di kedai makan bukan Islam kerana ia menimbulkan imej tidak baik di mata bukan Islam dan menimbulkan rasa serong.