Ajal ketika tukar tayar MPV

Iklan
Keadaan Perodua Alza yang remuk selepas dirempuh lori yang hilang kawalan.
SEREMBAN - Perjalanan sebuah keluarga menuju ke Ibu Negara berakhir tragedi apabila salah seorang daripadanya maut dalam nahas di Kilometer 269.3 Lebuh raya Utara-Selatan, arah Utara awal pagi tadi.

Mohd Solehan Mohd Nasir, 32, maut di tempat kejadian manakala isteri dan tiga anak perempuan mereka yang berusia dua hingga lapan tahun terselamat namun masih mendapatkan rawatan lanjut di Hospital Tuanku Jaafar, Seremban.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Thiew Hock Poh berkata, kejadian lebih kurang jam 6.30 pagi melibatkan sebuah lori 3 tan dengan sebuah Perodua Alza.

"Nahas dipercayai berlaku apabila kereta yang dipandu mangsa bersama isteri dan tiga orang anak perempuan dari arah Jempol menuju ke Kuala Lumpur rosak di bahagian tayar sebelah hadapan kanan.

"Mangsa memberhentikan kenderaan di laluan kecemasan dan bertindak menukar tayar yang rosak.

"Ketika itu, datang sebuah lori seberat 3 tan tidak membawa apa-apa muatan di lorong paling kiri lebuh raya yang hilang kawalan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Lori berkenaan terjunam ke dalam longkang.
Iklan
Iklan
Iklan
Iklan


Menurutnya, akibatnya lori tersebut terlanggar bahagian belakang kanan Perodua Alza tersebut dan mangsa.

"Nahas menyebabkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian dan lori terbabit terbabas ke kiri bahu lebuhraya dan memasuki longkang.

"Mangsa lain yang terlibat telah dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban untuk rawatan," katanya.