BUTTERWORTH - Tiga lelaki menerima padah apabila tindakan mereka mencuri seekor lembu berjaya ditumpaskan oleh pemilik haiwan itu sendiri di Jalan Sungai Lokan, di sini awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, pengembala lembu itu menyedari kejadian tersebut selepas terdengar anjingnya menyalak kira-kira jam 3.15 pagi.
Menurutnya, dia yang mengesyaki sesuatu kemudiannya memeriksa rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan mendapati dua ekor lembu yang berada dalam kandang disumpit dengan ubat pelali.
"Ketika melihat CCTV itu juga, pemilik lembu mendapati terdapat empat lelaki tidak dikenali yang menaiki dua kereta cuba untuk mencuri lembunya.
"Dia terus keluar dari rumahnya untuk pemeriksaan dan mendapati kesemua suspek telah melarikan dengan salah seekor lembu miliknya baka ‘Brahman’ disumbat ke dalam sebuah kereta," katanya ketika dihubungi tadi.
Tambahnya, lelaki berusia 52 tahun yang tidak berpuas hati telah mengejar kereta suspek menyebabkan kereta tersebut melanggar besi pada longkang lalu terbabas.
"Pemilik lembu itu segera menghubungi polis dan polis dari Unit Rondaan Bermotosikal (URB) Ibupejabat Polis Daerah (IPD) SPU berjaya menahan tiga suspek berusia 24 hingga 26 tahun.
"Hasil siasatan awal mendapati, tempat kejadian merupakan kawasan kandang lembu yang berpagar dan dilengkapi dengan cctv selain ia diawasi oleh beberapa ekor anjing pemilik kandang," katanya.
Beliau berkata, susulan tangkapan itu, pihaknya berjaya merampas sebuah kereta jenis Honda Civic yang dipercayai digunakan suspek untuk mencuri lembu.
"Semua barang rampasan dan ketiga-tiga suspek dibawa balik ke IPD SPU untuk tindakan lanjut. Salah seorang daripada suspek mempunyai satu rekod jenayah lampau atas kesalahan dadah.
"Kesemua suspek dibawa ke Hospital Kepala Batas untuk rawatan kerana mengalami kecederaan di kepala namun dirawat sebagai pesakit luar. Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan," katanya