GERIK - Seorang guru agama maut manakala dua anaknya cedera selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) dinaiki terbabit dalam nahas tiga kenderaan di KM11 Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli, hari ini.
Kejadian sekitar jam 7.50 pagi itu menyebabkan Mohd Nazeri Zakaria, 42, memandu MPV jenis Nissan Grand Livina maut di tempat kejadian selepas mengalami cedera parah akibat tersepit.
Mangsa difahamkan seorang guru agama di sebuah sekolah tahfiz di Batu Caves, Selangor dan ketika kejadian dalam perjalanan dari arah Jeli ke Gerik.
Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Ismail Che Isa berkata, kejadian turut menyebabkan anak lelaki berusia 16 tahun cedera sementara seorang lagi yang belum dikenal pasti identiti tidak sedarkan diri.
Menurutnya, dua lagi kenderaan terlibat adalah MPV jenis Proton Exora dipandu lelaki berusia 49 tahun dan sebuah lori dinaiki dua beradik berusia 42 dan 13 tahun, kesemua mereka hanya mengalami cedera ringan.
"Siasatan awal mendapati, kenderaan dinaiki tiga beranak itu hilang kawalan lalu masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah lagi MPV.
"Lori muatan zink yang mengekori MPV Proton Exora tidak sempat mengelak lalu melanggar kenderaan di hadapannya," katanya.
Beliau berkata, akibat kemalangan itu, pemandu MPV Nissan Grand Livina disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Katanya, lokasi kejadian merupakan kawasan kerap berlaku kemalangan.
"Mayat mangsa dihantar ke Hospital Gerik dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.