MAKKAH - Malaysia komited untuk menyokong Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dalam meningkatkan pembangunan umat Islam khususnya dalam melaksanakan Pelan Tindakan 10 Tahun OIC 2016-2025.
Dalam satu kenyataan Putrajaya yang dikeluarkan semalam menjelang Sidang Kemuncak OIC kali ke-14 di sini, Malaysia yang diwakili oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada sidang kemuncak itu menyokong usaha OIC dalam memastikan kesejahteraan Islam.
Malaysia ialah salah sebuah negara pengasas OIC ketika ia ditubuhkan pada tahun 1969.
Dr Wan Azizah tiba di Arab Saudi semalam untuk menghadiri Sidang Kemuncak OIC yang akan diadakan di kota suci Islam ini pada hari ini dan esok.
Ketibaan Timbalan Perdana Menteri di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdul Aziz, Jeddah pada jam 3.45 petang disambut oleh menteri dan para pegawai Arab Saudi.
Beliau ialah salah seorang daripada 57 orang ketua negara dan kerajaan OIC yang dijemput ke persidangan tersebut yang bertemakan 'Sidang Kemuncak Makkah: Berganding Bersama Ke Arah Masa Depan'.
Wan Azizah akan berada di negara ini selama empat hari sehingga 2 Jun ini untuk menghadiri sidang kemuncak tersebut yang membincangkan isu-isu politik, ekonomi dan sosiobudaya yang dihadapi oleh negara-negara Islam.
Mesyuarat peringkat pegawai dan menteri menjelang sidang kemuncak itu telah berlangsung di Jeddah sejak 27 Mei lalu.
Acara kemuncak sidang itu akan diadakan di Istana Tetamu, Makkah pada pukul 12 tengah malam ini dengan dipengerusikan oleh Pemerintah Arab Saudi, Raja Salman bin Abdul Aziz. Satu pengisytiharan akan dikeluarkan pada akhir mesyuarat itu.
Sidang kemuncak itu dijangka menerima pakai Kenyataan Akhir Sidang Kemuncak OIC Ke-14, Resolusi Mengenai isu Palestin dan Al-Quds Al-Sharif serta Deklarasi Makkah.
Memandangkan sidang kemuncak OIC kali ini diadakan pada bulan Ramadan, mesyuarat peringkat pemimpin tertinggi itu akan berakhir sekitar jam 2 pagi sebelum diikuti sahur gala dan solat Subuh.
Selepas ketibaannya di Jeddah semalam, Wan Azizah menghadiri majlis berbuka puasa bersama komuniti Malaysia di Restoran D’Saji milik FELDA di Jeddah yang terletak kira-kira 80 kilometer ke barat Makkah.