Penghujung Ramadan paling sibuk di Makkah

Iklan

MAKKAH – Kota suci Makkah memang sentiasa padat terutama pada musim haji dan sepanjang bulan Ramadan.

Dalam setahun, kira-kira 20 juta umat Islam dari seluruh dunia mengunjungi kota suci ini untuk beribadat, menunaikan kewajipan Rukun Islam dan mendekatkan diri kepada ALLAH.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun, pada hujung bulan Ramadan tahun ini, kesibukannya amat luar biasa kerana kota suci ini turut menjadi tumpuan para pemimpin Islam dan para pegawai dari 57 buah negara yang dijemput menyertai Sidang Kemuncak Islam yang berlangsung di sini.

Semalam sekumpulan jemaah umrah yang berada di sini begitu sabar menaiki bas yang disediakan untuk ke Masjidil Haram. Ramai yang ingin berbuka puasa, solat Maghrib dan menenangkan hati di masjid suci itu.

Iklan

Perjalanan dari hotel mereka yang terletak di Al-Aziziyah di sini hanyalah sejauh tujuh kilometer.

Mereka menjangkakan bas yang mereka naiki akan mengambil masa cuma 20 minit ke Masjidil Haram.

Iklan

Bas bertolak selepas waktu Asar kira-kira pukul 4.15 petang.

Namun, jalan raya telahpun begitu sesak, banyak simpang ditutup. Setelah berada di atas jalan selama lebih daripada satu setengah jam, pemandu bas akhirnya dengan berat hati terpaksa mengalah.

Dia membelok di satu simpang, membuat pusingan U dan dalam masa kurang 10 minit dia membawa penumpang kembali ke hotel.

Jemaah umrah yang berada di Makkah sekarang terpaksa membuat persediaan yang lebih rapi dan sabar jika mereka ingin ke Masjidil Haram pada minggu puncak ini.

Makkah yang menjadi kiblat solat umat Islam menerima tumpuan yang luar biasa minggu ini.

Selain Sidang Kemuncak Islam yang menampilkan tiga mesyuarat peringkat tinggi iaitu Sidang Kemuncak Kali ke-14 Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Pemerintah Arab Saudi, Raja Salman bin Abdul Aziz juga memanggil dua lagi sidang kemuncak Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan Liga Arab.

Latar belakang kepada sidang kemuncak itu ialah suhu politik, diplomatik dan keselamatan yang membahang di Asia Barat sekarang.

Di Makkah juga berlangsung satu persidangan antarabangsa anjuran Muslim World League yang menghimpunkan 1,200 sarjana Islam dari seluruh dunia.

Selepas empat hari membahaskan isu-isu yang dihadapi oleh dunia Islam, para sarjana daripada pelbagai mazhab dan aliran itu bersetuju untuk mengeluarkan satu dokumen yang dinamakan Piagam Makkah.

Dokumen tersebut telah diserahkan kepada Raja Salman pada satu majlis menghadap di Istana Al-Safa di sini kelmarin.

Piagam Makkah mengandungi pelbagai ketetapan mengenai peranan Islam dalam tamadun dunia, fenomena Islamofobia, cabaran teknologi, kaedah menangani terrorisme dan ekstremisme serta kepelbagaian negara-negara Islam dan kewujudan bersama.

Ketika menerima Piagam Makkah itu, Raja Salman yang merupakan Penjaga Dua Masjid Suci bertitah kepada sarjana-sarjana itu tentang ajaran Islam yang menekankan kepada kesederhanaan serta kedudukan umat Islam sebagai sebuah masyarakat yang moderat.

Dengan Sidang Kemuncak Islam yang berlangsung hari ini, gerakan melawan terrorisme dan ektremisme telah mencapai garis tertinggi lapisan politik dan pemerintahan negara-negara Islam.

Daripada 57 buah negara anggota OIC, sebahagian besarnya berdepan dengan kesulitan politik, ekonomi dan keselamatan.

Dari Yemen membawa ke Somalia, dari Sudan sampailah ke Syria, dari Iran hingga ke Libya, ada banyak negara Islam memerlukan penyelesaian kepada konflik dalaman masing-masing yang belum nampak pintu penyelesaiannya setelahberpuluh-puluh tahun terjerumus ke dalam pergeseran politik.

Antara perjuangan asal OIC adalah untuk melihat perdamaian dan penyelesaian kepada nasib umat Islam di Palestin dan Masjid Al-Aqsa, sebuah lagi masjid suci Islam, dilindungi. Itupun masih jauh daripada tercapai.

Dalam suasana inilah, para pemimpin Islam berkumpul di kota suci Makkah untuk berganding bersama menuju masa depan yang lebih positif, damai, makmur dan bertolak ansur dalam suasana dunia yang pesat berubah.

Umat Islam yang diwakili oleh pemimpin negara-negara OIC itu perlu menyedari bahawa mereka akhirnya perlu melalui masa depan tersebut secara bijaksana, berfikiran terbuka, diplomasi dan yang paling penting penuh kesabaran.