KOTA TINGGI - Kerajaan negeri sedang merangka program bagi membangunkan tanah kosong dan terbiar milik agensi agensi kerajaan di negeri ini.
Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar, Tosrin Jarvanthi berkata, cadangan tersebut telah dibawa ke dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan dipersetujui.
Iklan
Iklan
"Menteri Besar, Datuk Dr Sahruddin Jamal setuju saya letakkan Pengarah Pertanian Johor sebagai sekretariat utama program selain melantik Lembaga Nanas Malaysia menjadi penggerak utama bagi merealisasikan program dikenali sebagai revolusi hijau pembangunan tanah terbiar ini," katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Penutup Kursus Hands-On Penyediaan Makanan Tradisional Melayu Jabatan Pertanian Negeri Johor di Pusat Sehenti Fertigasi Felda Semenchu.
Menurutnya, semenjak dilantik menjadi Exco Kerajaan negeri beliau dapati banyak tanah kosong dan terbiar milik kerajaan yang boleh menjana sumber pendapatan.
"Buat peringkat permulaan ini beberapa tanaman kontan utama seperti Nanas MD2 akan dijadikan sebagai projek pilot.
"Kita akan gunakan anak-anak Felda, Risda dan sebagainya untuk merealisasikan program ini," katanya. Tosrin berkata, program akan memastikan Johor terus menjadi negeri yang menjana ekonomi untuk rakyatnya, sekali gus kekal menjadi salah satu negeri terkaya dan subur ekonominya.