Penganjur ditahan, wang pertaruhan lumba haram dirampas

Iklan
Polis menahan tiga lekai dan menyita motosikal digunakan dalam kegiatan lumba haram di Lebuhraya Cheras-Kajang (Grand Saga) pagi tadi. Gambar kecil, polis merampas sejumlah wang dipercayai hasil perlumbaan haram dalam Operasi Khas Samseng Jalanan di sini pagi tadi. - Foto JSPT Bukit Aman

KUALA LUMPUR - Polis menahan seorang lelaki dipercayai penganjur kegiatan lumba haram dan merampas RM520 dipercayai wang pertaruhan dalam Operasi Khas Samseng Jalanan di sini pagi tadi.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mohd Nadzri Hussain berkata, Operasi Khas Samseng Jalanan ini dilakukan selepas polis menerima maklumat yang tersebar di WhatsApp berkaitan satu penganjuran lumba haram yang akan diadakan di Lebuhraya Cheras-Kajang (Grand Saga) Kajang.

Iklan
Iklan

Menurutnya, Unit Risikan dan Operasi JSPT Bukit Aman melakukan pemantauan dengan berpakaian preman dan dapat menjejak kegiatan berkenaan.

"Ketika berada di hentian Rawat dan Rehat Bukit Dukung arah Kuala Lumpur, polis mengesan pergerakan tiga lelaki dan salah seorangnya dipercayai penganjur perlumbaan. Hasil pemantauan polis melihat dua daripada lelaki itu membayar sejumlah wang kepada penganjur perlumbaan.

Iklan

"Kumpulan penunggang motosikal ini kemudian bergerak ke kilometer 15 Lebuhraya Cheras -Kajang arah Kajang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Nadzri berkata, kesemua suspek berusia antara 17 hingga 21 tahun.

Iklan

"Semua suspek ditahan dan motosikal serta barang-barang digunakan dalam perlumbaan disita. Suspek dibawa balik ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang untuk tindakan lanjut,” katanya.