Penggunaan kad KISS dibekukan sebulan

Iklan
Amirudin Shari

SHAH ALAM - Penggunaan kad Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) dibekukan selama sebulan bagi memberi laluan kepada proses kemas kini maklumat penerima.

Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata, tarikh mengemas kini kad KISS dicadangkan bermula dari 1 Jun sehingga 1 Julai ini.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun, tarikh itu diubah kepada 15 Jun sehingga 15 Julai 2019 dengan mengambil kira tarikh Hari Raya Aidilfitri yang jatuh pada 5 Jun 2019

"Ini bagi membolehkan para penerima bantuan KISS menggunakan kad KISS sebagai persiapan menyambut Aidilfitri.

Iklan

"Setelah proses kemas kini selesai, penerima KISS yang tersenarai dalam eKasih atau Bantuan Sara Hidup (BSH) boleh terus menggunakan kad KISS dengan jumlah manfaat yang sama", katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau menjelaskan, langkah mengemaskini maklumat penerima adalah bagi memastikan bantuan KISS disalurkan kepada golongan yang benar-benar memerlukan.

Iklan

"Langkah ini perlu setelah hampir dua tahun dilaksanakan.

"Kerajaan Negeri Selangor telah membelanjakan RM 107 juta bagi manfaat KISS sejak pelaksanaannya pada tahun 2018 dan akan terus komited meneruskan inisiatif ini," katanya.

KISS diumumkan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sewaktu menyandang jawatan Menteri Besar Selangor pada Bajet Selangor 2018 memperuntukkan bantuan bulanan RM200 kepada suri rumah.