Pemuda UMNO persoal pelantikan anggota Majlis Menteri

Iklan
Fadzmel

KUALA LUMPUR - Pemuda UMNO mempersoalkan pelantikan enam Ahli Parlimen di Kuala Lumpur sebagai anggota jawatankuasa Majlis Menteri.

Exconya, Fadzmel Fadzil berkata Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad perlu memberi huraian dan penerangan penuh tentang keperluan bagi pelantikan tersebut.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, antara persoalan utama yang timbul adalah berhubung kuasa yang dimiliki oleh anggota Majlis Menteri yang dilantik itu.

"Apakah kuasa yang dimiliki oleh ahli Majlis Menteri ini? Adakah ia mirip kedudukan Exco kerajaan negeri?

Iklan

"Adakah ahli Majlis Menteri ini juga akan mempengaruhi setiap keputusan-keputusan mesyuarat dan terlibat secara langsung meluluskan bajet Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) atau Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP)?

"Dan adakah ini juga tiket untuk Ahli Parlimen di dalam Wilayah Persekutuan menggunakan sepenuhnya aset serta bantuan kewangan KWP juga DBKL untuk kepentingan pentadbiran dan diri sendiri?" soalnya dalam satu kenyataan hari ini.

Iklan

Mengulas lanjut, Fadzmel berkata, Khalid perlu memberi penjelasan berhubung perkara itu berikutan terdapat desas-desus mengatakan ini merupakan langkah beliau untuk ‘membeli jiwa’ Ahli Parlimen di Wilayah Persekutuan.

Beliau berkata, perkara ini adalah susulan khabar angin mengatakan bahawa jawatan Khalid itu bakal diganti oleh Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil selepas Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim diangkat sebagai perdana menteri.

Semalam, Khalid mengumumkan pelantikan enam Ahli Parlimen di Wilayah Persekutuan sebagai anggota jawatankuasa untuk mengisi beberapa portfolio dalam membantu tugas KWP dan DBKL.

Menurut Khalid, penyerahan watikah pelantikan itu yang dibuat pada Isnin lepas membabitkan Ahli Parlimen yang tidak memegang jawatan dalam kerajaan termasuk menteri, timbalan menteri atau duta khas.

Menerusi lantikan itu, portfolio yang dipegang adalah Nik Nazmi Nik Ahmad (Setiawangsa) untuk Pendidikan; Fong Kui Lun (Bukit Bintang) bagi Pelancongan, Seni dan Budaya; P. Prabakaran (Batu) untuk Belia dan Sukan; Datin Paduka Dr Tan Yee Kew (Wangsa Maju) untuk Kesihatan dan Hal Ehwal Wanita; Lim Lip Eng (Kepong) untuk Trafik dan Infra dan Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil (Lembah Pantai) bagi Sosial dan Pembangunan Ekonomi.