Jabatan Perangkaan laksana banci perdagangan

Iklan
Zainol

KUANTAN - Jabatan Perangkaan Malaysia Negeri Pahang kini melaksanakan Banci Perdagangan Borong dan Runcit (WRC) bermula April sehingga September 2019 membabitkan 8,563 syarikat di negeri ini.

Pengarah Jabatan Perangkaan Malaysia Negeri Pahang, Zainol Jamil berkata, objektif utama adalah untuk mengemaskini stok rangka dan profil subsektor perdagangan borong dan runcit sehingga peringkat mikro.

Iklan
Iklan

Selain itu katanya, untuk mengukur sumbangan perdagangan itu kepada ekonomi negara dan menyediakan instrumen bagi penggubalan dasar pembangunan, mengukur pencapaian pelan pembangunan nasional.

"Penemuan daripada banci ini akan digunakan oleh kerajaan bagi tujuan perancangan dan pemantauan, terutamanya dalam penyediaan Rancangan Malaysia.

Iklan

"Banci Perdagangan Borong dan Runcit pertama kali dilaksanakan pada 1970 dan tahun ini merupakan kali ke-8. Ia merupakan input utama bagi pembentukan dasar ekonomi yang akan memberi manfaat kepada rakyat," katanya.

Zainol berkata, ia juga menjadi penanda aras kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) serta perangkaan ekonomi dan sosial di Malaysia.

Iklan

Menurutnya, kerjasama syarikat dan perniagaan amatlah penting dengan memberikan maklumat tepat kepada Jabatan Perangkaan Malaysia agar memperoleh statistik berkualiti.

"Statistik berkualiti dapat membantu kerajaan membuat keputusan berasaskan bukti. Penemuan Banci 2014 bagi negeri Pahang menunjukkan 15,927 pertubuhan telah beroperasi pada tahun 2013 yang melibatkan perdagangan borong, runcit serta kenderaan bermotor.

"Jumlah jualan barangan dan perkhidmatan pada 2013 adalah RM20.3 bilion. Nilai output kasar yang dihasilkan adalah RM5.1 bilion manakala nilai ditambah adalah RM3.3 bilion. Bilangan pekerja yang terlibat dalam sektor ini seramai 56,713 orang dengan nilai gaji dan upah yang dibayar berjumlah RM890.3 juta.

"Subsektor perdagangan borong merekodkan bilangan pertubuhan sebanyak 1,787 pada 2013 dengan pertumbuhan sebanyak 7.6 peratus dari tahun 2008.

"Nilai jualan barang dan perkhidmatan bagi subsektor ini pada 2013 merekodkan RM9.6 bilion. Nilai output kasar yang dijana adalah sebanyak RM2 bilion manakala nilai ditambah adalah RM1.4 bilion dengan nilai pertumbuhan 3.5 peratus.

"Bilangan pekerja yang terlibat dalam subsektor ini adalah 10,660 orang dengan nilai gaji dan upah yang dibayar berjumlah RM211.1 juta," katanya.

Tambahnya, subsektor perdagangan runcit merekodkan bilangan pertubuhan sebanyak 11,248 pada 2013 dengan pertumbuhan sebanyak 4.5 peratus dari tahun 2008.

Katanya, nilai jualan barang dan perkhidmatan bagi subsektor ini pada 2013 merekodkan RM7.9 bilion. Nilai output kasar yang dijana adalah sebanyak RM2.2 dengan nilai pertumbuhan sebanyak 8.5 peratus.

Bilangan pekerja yang terlibat dalam subsektor ini adalah 34,664 orang dengan nilai gaji dan upah yang dibayar berjumlah RM495.6 juta.

Subsektor kenderaan bermotor merekodkan bilangan pertubuhan sebanyak 2,892 tahun 2013 dengan pertumbuhan sebanyak 3.6 peratus dari 2008.

Nilai jualan barang dan perkhidmatan bagi subsektor ini pada tahun 2013 merekodkan RM2.8 bilion. Nilai output kasar yang dijana adalah sebanyak RM896.8 juta manakala nilai ditambah adalah RM557.1 juta dengan pertumbuhan 7.3 peratus.

Bilangan pekerja yang terlibat dalam subsektor ini adalah 11,389 orang dengan nilai gaji dan upah yang dibayar berjumlah RM183.7 juta.