"Dasar ini akan bersifat lebih menyeluruh, komprehensif dan berpaksikan trend industri pelancongan di peringkat global yang meliputi pelbagai aspek dan subsektor pelancongan termasuklah 'accessible tourism',” katanya ketika sesi soal jawab pada Persidangan Dewan Negara di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan senator Bathmavathi Krishnan yang mahu tahu langkah yang diambil kementerian untuk memastikan aspek ''accessible tourism' diberi perhatian dari segi tempat penginapan yang mesra Orang Kurang Upaya (OKU) serta menepati piawaian 'universal design'.
Menjawab lanjut Muhammad Bakhtiar berkata kementerian komited dalam memastikan semua kategori pelancong boleh melancong ke Malaysia dengan selamat dan selesa dengan berpandukan prinsip ‘Tourism For All–Promoting Universal Accessibility’ oleh United Nations World Tourism Organisation (UNWTO).
Muhammad Bakhtiar berkata antara langkah yang dilaksanakan ialah menetapkan satu daripada kriteria di bawah Pengelasan Premis Penginapan Pelancong iaitu sekurang-kurangnya satu bilik dengan kemudahan untuk orang kurang upaya hendaklah disediakan oleh Premis Penginapan mengikut Akta OKU 2007.
"Selain itu, terdapat penetapan standard bagi setiap pembangunan infrastruktur dan kemudahan pelancongan di mana ia perlu mematuhi Piawaian Malaysia MS1184 - Universal Design and Accessibility in the Build of Environment.
"Kelengkapan yang perlu dipasang di setiap projek pelancongan termasuk tanjakan (ramp), susur tangan (handrails), tempat letak kereta boleh diakses, papan tanda dan tandas yang mesra OKU," katanya. - Bernama