JOHOR BAHRU - Majlis Permuafakatan Ngo Felda (MPNF) begitu terharu atas keprihatinan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohammad dan Kerajaan pemberian insentif hari raya pada tahun ini kepada peneroka di bawah skim Felda.
Pengerusinya, Datuk Mazlan Aliman berkata, meskipun jumlahnya lebih rendah dari tahun lalu, pihaknya memahami kekangan kewangan Kerajaan, khususnya Felda.
Menurutnya, bagaimanapun, berita gembira ini pasti melegakan seramai 112,635 peneroka Felda di seluruh negara.
"Pemberian insentif produktiviti atau duit raya adalah galakkan agar peneroka Felda meningkatkan hasil pengeluaran mereka sama ada kelapa sawit mahu pun getah.
"Ia juga suatu inisiatif agar para peneroka menjual hasil mereka di kilang Felda (kini FGV)," katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Mazlan berkata, pengumuman ini akan memberi rangsangan bukan sahaja kepada peneroka tapi juga generasi baharu Felda sebagai kelompok majoriti yang terlibat dalam pembangunan ladang peneroka selaku pentadbir atau pewaris.
"MPNF menggesa agar FGV Holding juga berbuat demikian dalam bentuk dividen Interim seperti amalan tahun tahun sebelum ini.
"Ia amat munasabah kerana saham Felda dan Peneroka dalam FGV tidak kurang dari 34 peratus," katanya.