APMM Johor tahan 11 individu disyaki perompak dua kapal

Iklan
Aminuddin (kanan) ketika menyoal siasat kesemua individu yang ditahan dalam operasi berkenaan.

ISKANDAR PUTERI - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Negeri Johor menahan seramai 11 individu warga Indonesia yang dipercayai terlibat dalam kegiatan merompak kapal sedang ditunda di perairan Pulau Kukup, malam tadi.

Pengarah Maritim Johor, Laksamana Pertama Maritim, Aminuddin Abdul Rashid berkata, kesemua individu berusia lingkungan 16 hingga 30 tahun itu ditahan dalam dua operasi berasingan pada jam 10.20 malam dan 1.30 pagi tadi.

Iklan
Iklan

"Dalam Operasi Khas Pagar Laut yang pertama, kami telah berjaya menahan dua buah sampan bersama enam individu di kedudukan 3.2 batu nautika barat daya Pulau Kukup, Pontian.

"Serbuan kedua pula kita menahan dua buah sampan bersama lima individu disyaki mencuri peralatan di sebuah baj yang sedang ditunda di kedudukan 2.3 batu nautika barat daya Pulau Kukup dalam pelayaran dari Batam, Indonesia menuju ke Chitagong, Bangladesh," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian pada sidang media di Jeti Maritim Malaysia Sungai Pulai, Gelang Patah di sini hari ini.

Aminuddin berkata, hasil siasatan dilakukan mendapati kedua-dua kumpulan turut mengaku memasuki perairan negara dari Batam dan Pulau Karimun, Indonesia.

Iklan

Beliau berkata, modus operandi digunakan kedua-dua kumpulan berkenaan dalam menyasarkan kenderaan laut yang bergerak tidak melebihi tiga hingga empat knot.

"Buat masa ini hasil siasatan yang dilakukan kita dapat kumpulan mereka ini hanya mensasarkan kapal ditunda atau tidak bergerak laju. Mereka ini bukan lanun atau sebagainya.

"Tetapi kita percaya kumpulan ini merupakan antara sindiket perompak di laut yang aktif melakukan kegiatan jenayah di perairan Selat Melaka dan Selat Singapura sejak 2016,” katanya.

Beliau berkata, mereka ditahan untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.