PUTRAJAYA - Majlis Profesor Negara (MPN) akan menganjurkan Kongres MPN ke-3 Oktober ini dengan memberi fokus kepada usaha membangunkan negara meliputi aspek ekonomi, pendidikan dan sosio-budaya.
Presidennya, Prof Datuk Dr Raduan Che Ros berkata, perasmian kongres itu bakal disempurnakan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad manakala Pengerusi Yayasan Warisan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim akan dijemput untuk memberi ucaptama.
Iklan
Iklan
Menurutnya, perancangan lebih teliti mengenai kongres itu akan dirangka susulan pertemuan MPN dengan Rais semalam.
"Tan Sri Dr. Rais Yatim telah menjemput barisan kepimpinan MPN untuk menjadi tetamunya dan berbincang lanjut mengenai pengisian program.
"Kongres ini penting sebagai wadah untuk mengumpulkan input daripada kumpulan pemikir dan pakar bidang untuk membantu kerajaan membangunkan negara bangsa Malaysia yang stabil, kukuh dan bersatu padu," katanya pada majlis berbuka puasa di sini.
Tambahnya lagi, dalam pertemuan itu juga pihaknya turut berbincang mengenai usaha MPN untuk menghimpunkan pakar pelbagai bidang yang terdiri daripada profesor, badan profesional dan badan bukan kerajaan untuk membantu kepimpinan negara melalui saranan yang dibuat dalam pelbagai sektor terutamanya ekonomi, pendidikan dan sosio-budaya.
"Agenda pembinaan negara bangsa berasaskan penyatupaduan kaum perlu diteruskan dan dalam masa yang sama, kepentingan Melayu dan Bumiputera perlu diperkukuhkan," katanya.