Rakyat berbilang kaum meriahkan iftar potluck bersama MB

Iklan
Ahmad Faizal dan isteri, Datin Seri Nomee Ashikin Mohammed Radzi menyertai lebih 500 penduduk dalam Iftar Potluck Bersama MB di Padang Ipoh hari ini.

IPOH - Majlis Iftar Potluck Bersama Menteri Besar yang pertama kali dianjurkan di Padang Ipoh, hari ini diraikan bersama lebih 500 penduduk dari sekitar kawasan Ipoh.

Lebih membanggakan apabila majlis itu turut menarik kehadiran masyarakat bukan Islam yang turut mengambil peluang untuk merasai pengalaman berbuka puasa.

Iklan
Iklan

Brian, 39, dari Tambun berkata, dia mendapat informasi mengenai majlis itu menerusi gegantung dua hari lalu dan terus membuat keputusan untuk menyertainya.

"Bila saya ajukan kepada isteri dan tiga anak saya, mereka juga mahu turut serta, malah abang saya juga mahu ikut sama.

Iklan

"Kami datang seawal jam 6.30 petang tadi dan ia satu pengalaman yang sangat mengagumkan apabila dapat berkumpul dan makan bersama seperti ini," katanya.

Seorang lagi peserta, Mohd Daud Ahmad, 50, dari Pengkalan Pegoh berkata, pada mulanya dia datang bersama keluarga, namun mula menelefon mengajak rakan-rakan lain datang selepas melihat kemeriahan suasana di padang itu.

Iklan

"Saya kira belum pernah lagi acara seperti ini dibuat di sini, suasananya cukup santai dan sangat menarik.

"Jadi sebagai penduduk kita kenalah bagi sokongan, makanan yang saya bawa ni ada yang dimasak sendiri dan sebahagian lagi dibeli di bazar," katanya.

Aida Natasya (dua dari kanan) hadir bersama keluarga.

Aida Natasya Afiqah Mohd Nizam, 22, dari Chepor pula menyarankan agar majlis seumpama itu diteruskan untuk tahun-tahun akan datang.

Katanya, bukan sahaja dapat mengeratkan hubungan antara keluarga, tetapi secara tidak langsung menjalin ukhuwah bersama peserta lain.

"Kalau boleh kita war-warkan secara meluas agar lebih ramai dapat hadir berhimpun bersama, jika ada lagi tahun depan, saya dan keluarga pasti akan join sama," katanya.

Rezeki yang dikongsi bersama sempena Iftar Potluck Bersama MB di Padang Ipoh hari ini.

Dalam pada itu, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, majlis berkenaan bagi mewujudkan suasana baharu dalam kalangan rakyat memandangkan Padang Ipoh antara lokasi tarikan orang ramai terutama pada waktu malam.

"Idea ini sebenarnya saya dapat selepas lihat majlis sama dibuat di Kuantan (Pahang) dan sewaktu saya bertugas di Pejabat Menteri Besar Kedah juga pernah dianjurkan program sama.

"Saya kira eloklah kawasan-kawasan padang seperti ini dan yang ada di daerah digunakan untuk adakan program sebegini, mungkin sebulan sekali supaya kita dapat galakkan rakyat bersatu bukan sahaja umat Islam yang beramal dalam bulan puasa, tetapi juga semua kaum," katanya.

Brian (kanan) bersama keluarga merasai pengalaman mengagumkan apabila dapat menyertai Iftar Potluck Bersama MB di Padang Ipoh hari ini.

Beliau berkata, kerajaan negeri mempunyai perancangan untuk memperindahkan Padang Ipoh berkonsepkan 'sound and light'

Katanya, projek dengan kos hampir RM3 juta daripada kerajaan Pusat itu akan dimulakan tidak lama lagi dan dijangka siap seawalnya hujung tahun ini.