Kementerian tingkat kesedaran pekebun kecil miliki sijil MSPO

Iklan
Shamsul Iskandar Mohd Akin

JASIN - Kementerian Industri Utama dan Lembaga Minyak Sawit Malaysia terus berusaha meningkatkan kesedaran dalam kalangan pekebun kecil kelapa sawit mematuhi prinsip kemampanan pensijilan Minyak Sawit Mampan (MSPO).

Timbalan Menteri Industri Utama Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata pensijilan berkenaan penting bagi menjamin peningkatan produktiviti dan kualiti hasil buah sawit melalui amalan pertanian yang baik, sekali gus menjana pendapatan lebih tinggi.

Iklan
Iklan

"Industri sawit kini berdepan dengan pelbagai isu termasuk kemampanan dan alam sekitar berkaitan dengan penebangan hutan dan ancaman habitat hidupan liar seterusnya memberi impak negatif terhadap minyak sawit negara.

"Justeru, bagi menangkis kempen memburukkan imej industri sawit, kerajaan telah melaksanakan pelbagai inisiatif bagi memperkukuh pengeluaran minyak sawit secara mampan dalam meningkatkan lagi daya saing industri sawit negara dengan 17 minyak sayuran lain di pasaran dunia," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Iklan

Setakat 30 April lepas, sebanyak 119 daripada 162 Kelompok Minyak Sawit Mampan (SPOC) di seluruh negara telah mendapat pensijilan MSPO melibatkan penyertaan 9,171 pekebun kecil persendirian dengan keluasan kebun sebanyak 35,207 hektar. Shamsul Iskandar yang juga Anggota Parlimen Hang Tuah Jaya berkata dalam masa yang sama, kerajaan amat prihatin terhadap kos agak tinggi bagi mendapat pensijilan MSPO yang wajib dipatuhi menjelang akhir tahun ini.

"Oleh itu, kita telah menyediakan insentif sebanyak RM30 juta bagi menyalurkan bantuan kepada pekebun kecil agar dapat melaksanakan MSPO meliputi kos yuran, latihan, penyediaan rak penyimpanan bahan kimia dan peralatan perlindungan diri (PPE).

Iklan

"Bagi meringankan beban golongan yang terjejas akibat kejatuhan harga sawit, kerajaan telah mengumumkan dana pinjaman mudah sebanyak RM550 juta bagi tujuan penanaman semula dengan benih sawit berkualiti dan geran MSPO berjumlah RM100 juta," katanya. -Bernama