Polis buru lelaki rogol adik ipar

Iklan
Mohd Nor Yhazid

MELAKA TENGAH - Polis sedang mengesan seorang lelaki dipercayai merogol adik ipar perempuannya di Gadek, Alor Gajah bermula sejak akhir Mac hingga pertengahan April lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Mohd Nor Yhazid Idris berkata, suspek berusia 39 tahun itu didakwa merogol mangsa berusia 15 tahun beberapa kali termasuk di kawasan terpencil dan gelap, bawah jambatan, dalam semak kawasan dan berdekatan sungai.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kejadian itu terbongkar apabila disedari abang kandung mangsa, namun suspek didakwa telah melarikan diri ke kampung halamannya di Kuching, Sarawak bersama isteri serta dua orang anaknya pada minggu yang sama.

"Mangsa didakwa dirogol selepas mangsa tinggal di rumah kakak kandungnya di Gadek yang sebelum ini mangsa menetap bersama ibu bapa mereka di Negeri Sembilan.

Iklan

"Dalam tempoh itu sebanyak lapan kali mangsa dirogol dan suspek akan memaksa mangsa mengikutnya menaiki kereta atau motosikal ke lokasi-lokasi sunyi dan gelap," katanya di sini hari ini.

Jelasnya, mangsa telah dibawa ke Hospital Melaka untuk pemeriksaan tubuh badan dan pegawai perubatan mengesahkan terdapat kesan mencurigakan pada alat sulit mangsa.

Iklan

"Difahamkan kali terakhir mangsa dirogol pada 21 April lalu lebih kurang jam 8 malam dalam kereta milik suspek yang berdekatan kawasan sungai," katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan tidak kurang daripada 10 sebatan, jika sabit kesalahan.