JOHOR BAHRU - Kesemua syarikat yang diberi kebenaran untuk mengeksport durian ke China diingatkan agar jujur dan tidak menipu pelanggan dalam berurus niaga.
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub berkata kerajaan tidak teragak-agak menarik balik kebenaran sekiranya didapati ada yang cuba menipu.
"Jangan tipu. Mesti benar-benar jaga kepercayaan ini dan integriti. Jangan letak bukan Musang King tapi kata Musang King. Mesti asli.
"Saya beri amaran kepada syarikat-syarikat diberi kebenaran, anda mesti jujur. Saya tak teragak-agak tarik balik kelulusan. Jangan kerana nak untung lebih diganti dengan bukan Musang King," katanya kepada pemberita pada sidang media selepas melancarkan Jualan Jimat Belanja Aidilfitri di Pasar Tani Datin Halimah, hari ini.
Kelmarin, China telah memberi lampu hijau kepada Malaysia untuk mengeksport durian dalam bentuk sebiji penuh sejuk beku berkuatkuasa kelmarin.
Kata Salahuddin keputusan itu diterima selepas kira-kira sebulan wakil negara itu menjalankan pemeriksaan di ladang sembilan syarikat peladangan.
"Alhamdulillah durian kita sudah boleh dieksport ke China dalam sebiji penuh yang dibekukan. Kita dah boleh hantar bila-bila masa tapi yang pertama ini kita tunggu musim dan dijangka Julai atau Ogos dari Johor, Pahang dan utara.
"Sebelum ini kita hanya dibenarkan eksport dalam bentuk 'paste' macam tempoyak dan ulas yang dibekukan," katanya.
Menurut Salahuddin, setakat ini dianggarkan hanya 1 peratus daripada 1.4 bilion penduduk di China pernah menikmati durian.
"Jadi kita boleh lihat masa depan yang cerah untuk industri durian di China. Buat masa ini kita putuskan untuk eksport jenis Musang King dahulu, jenis lain akan menyusul.
"Pintu pasaran yang kita akan tembusi setakat ini Beijing dan Guangzhou di mana kita pasarkan 'paste' dan ulas sejuk beku sebelum ini jika ada pintu-pintu lain kita akan maklum kemudian," katanya.