PENYANYI, Ayu atau Norayu Damit, 30, berkongsi anak-anak berasa panik apabila persiapan raya pada kali ini agak lambat dilakukan.
Menurut juara program One in a Million musim kedua itu, komitmen kerja yang sibuk pada tahun ini mengehadkan masanya untuk membuat persiapan raya.
"Anak-anak pun sudah tanya bila saya nak beli baju raya? Tahun lepas saya buat persiapan awal kerana akan sibuk di penghujung Ramadan.
"Cuma tahun ini komitmen berjualan agak agresif di bazar Ramadan seperti di Mood Republik, Starvendors, Bazar Raya KL dan di Gegar Gempak Raya di MAEPS Serdang.
"Jadi, saya rasa akan shopping di saat-saat akhir. Tetapi, tak mengapalah sebab kali ini saya berniaga di bazar yang ada jual banyak baju raya, malam raya baru shopping," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di Mood Republik, Mitec, Kuala Lumpur, Sabtu lalu.
Mengenai perancangan kerjaya nyanyian, Ayu berharap akan ada sinar baharu selepas Hari Raya Aidilfitri nanti.