MAKKAH – [DIKEMASKINI] Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) bertekad untuk memulakan wawasan baharu yang menjanjikan masa depan cemerlang bagi menangani cabaran dalaman dan antarabangsa serta memelihara keselamatan dan kestabilan dunia Islam.
Dalam Deklarasi Makkah Al-Mukarramah yang dikeluarkan pada pukul 3.30 pagi waktu Makkah pagi tadi, para pemimpin menzahirkan sokongan agar OIC mencapai matlamat-matlamat yang ditetapkan oleh piagamnya melalui gerak kerja bersama untuk Islam yang diwakilinya.
Sidang kemuncak ketua-ketua negara dan kerajaan OIC yang berlangsung di sini mulai pukul 12 tengah malam dan berlarutan sehingga ke pukul 3.30 pagi amat istimewa kerana ia diadakan pada malam-malam terakhir bulan Ramadan di kota suci Islam ini.
OIC berhasrat membina kapasiti dan undang-undang dalam semua bidang di negara-negara Islam bagi memastikan matlamat pembangunan 57 buah negara anggota OIC dapat direalisasikan.
Dengan dibayangi konflik mutakhir Asia Barat yang menyaksikan Arab Saudi dan sekutunya bertelagah secara terbuka dengan Iran, deklarasi mengandungi 20 perkara tersebut tidak menyebut nama Iran dalam kenyataan akhirnya tetapi mengutuk serangan-serangan pengganas terhadap Arab Saudi dan Emeriyah Arab Bersatu (UAE).
OIC mendesak komuniti antarabangsa mengambil tanggungjawab untuk memastikan wujud keamanan dan keselamatan di Asia Barat.
Pemerintah Arab Saudi, Raja Salman bin Abdul Aziz mempengerusikan sidang kemuncak di Makkah itu pagi tadi yang diadakan selang sehari selepas dua sidang kemuncak tergempar Liga Arab dan Majlis Kerjasama Teluk (GCC).
Baginda bersama ketua negara dan kerajaan Islam, termasuk Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, tidak melupakan perjuangan awal OIC pada saat-saat awal ia ditubuhkan 25 Disember 1969 iaitu memperjuangkan nasib Palestin dan rakyatnya.
Sidang akhbar Menteri Negara Mengenai Hal Ehwal Luar Arab Saudi, Adel Al-Jubeir dan Setiausaha Agung OIC, Dr Yousef Ahmad Al-Othaimeen mengenai Deklarasi Makkah Al-Mukarramah hanya selesai pada pukul 4.2O pagi tadi.
Menggariskan pentingnya kepada umat Islam penyelesaian isu Palestin dan Arab di wilayah konflik awal Asia Barat itu, OIC berjanji akan terus berusaha menamatkan pendudukan haram Yahudi di wilayah Palestin yang telah berlarutan sejak tahun 1967.
OIC sepakat bahawa sebarang penyelesaian kepada isu Palestin perlu membawa kepada kewujudan sebuah negara Palestin yang berdaulat dengan Baitulmuqadis, bersama sempadan sebelum ia diduduki oleh Israel sejak 52 tahun lalu, sebagai sebagai ibu kotanya.
Antara topik-topik lain Deklarasi Makkah ialah:
- Merapatkan barisan untuk menghadapi organisasi terroris dan wujudkan undang-undang pencegahan di negara-negara OIC bagi mengawalnya.
- Menolak sebarang cubaan untuk mengaitkan keganasan dengan sebarang kerakyatan, tamadun dan agama.
- Terus mengutuk segala bentuk diskriminasi dan sifat tidak toleran yang boleh menyebabkan keganasan dan kebencian.
- Semua usaha dan manifestasi fanatik dikecam dan OIC menggalakkan perdamaian antara pengikut mazhab.
- Menegaskan bahawa pihak yang mengendalikan media sosial mempunyai tanggungjawab berat untuk menjauhkan Islam daripada huru-hara.
- Mencipta gerak kerja bersama Islam di peringkat serantau dan antarabangsa melalui kesedaran mengubah peranan OIC itu sendiri.