Elak guna soket penyambung elektrik berbentuk empat segi

Iklan
Orang ramai dinasihatkan untuk mengelakkan daripada menggunakan soket penyambung elektrik berbentuk empat segi

SHAH ALAM - Bomba menasihatkan orang ramai agar mengelakkan daripada menggunakan soket penyambung elektrik yang berbentuk empat segi tepat.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, soket penyambung elektrik berbentuk empat segi dilihat mempunyai risiko tinggi menyumbang kepada kejadian litar pintas dan boleh berlaku kebakaran di rumah.

Iklan
Iklan

Menurutnya, ciri keselamatan soket penyambung empat segi sangat rendah, apabila disambung pada soket utama kedudukannya juga akan longgar dan itu menyumbang risiko litar pintas.

"Adalah lebih baik menggunakan soket penyambung yang apabila disambung kepada soket utama kedudukannya lebih kukuh dan tidak mudah tertanggal.

Iklan

"Perlu juga dipastikan bahawa soket penyambung itu dalam keadaan baik, wayarnya tidak rosak atau terpintal serta semua soketnya berfungsi.

"Perkara itu perlu dititikberatkan memandangkan ketika musim perayaan penggunaan elektrik akan berlipat kali ganda bagi setiap isi rumah,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Iklan

Norazam berkata, orang ramai juga perlu sentiasa peka dengan keadaan sekeliling pantau barangan elektrik yang digunakan seperti peralatan yang berbau, berasap atau terlampau panas.

"Jangan lupa untuk menutup suis perkakasan elektrik selepas selesai digunakan seperti strika, mengecas talefon dan power bank.

"Orang ramai yang ingin pulang ke kampung juga dinasihatkan supaya mencabut semua plug perkakasan elektrik daripada soket sebelum meninggalkan rumah ini kerana walaupun suis telah ditutup, ada sesetengah situasi suis itu tidak tutup sepenuhnya arus elektrik masih mengalir dan ada juga soket yang telah rosak boleh menyebabkan litar pintas,” katanya.

Walau bagaimanapun Norazam memberitahu, sebagai langkah keselamatan mengelak daripada insiden rumah dipecah masuk penjenayah dan sebagainya, orang ramai masih boleh tetap menyalakan lampu di bahagian belakang atau luar rumah mereka seperti yang dinasihatkan polis.

"Namun adalah lebih baik jika lampu berkenaan ditambah baik fungsinya yang mana ia boleh dibuka dan dipadam secara berjadual dengan kawalan automatik, contohnya lampu hanya akan menyala pada waktu malam dan tertutup pada waktu siang,” katanya lagi.