PUTRAJAYA - Setakat akhir 2018, hutang dan liabiliti kerajaan adalah berjumlah RM1.1 trilion iaitu kira-kira 75.4 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar negara negara.
Kementerian Kewangan (MOF) berkata, ia berikutan peningkatan hutang langsung Kerajaan Persekutuan sebanyak RM54.2 bilion kepada RM741.0 bilion daripada RM686.8 bilion pada tahun sebelumnya.
"Peningkatan hutang langsung ini adalah untuk membiayai defisit fiskal, terutamanya bagi menampung komitmen pajakan PPP dan perbelanjaan off-budget yang sebelum ini tidak dimasukkan ke dalam penyata kewangan kerajaan secara telus.
"Jumlah jaminan yang ditanggung dan dibayar oleh kerajaan juga meningkat, khususnya bagi membiayai projek pengangkutan awam sedia ada yang sedang diteruskan seperti projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), Transit Aliran Massa (MRT) dan Transit Aliran Ringan (LRT).
"Peningkatan liabiliti ini bukanlah bagi membiayai projek infrastruktur baharu, tetapi adalah untuk menampung pembiayaan projek-projek yang sedang dilaksanakan. Dengan kata lain, peningkatan liabiliti ini adalah bagi menampung keperluan projek-projek yang diluluskan oleh pentadbiran terdahulu,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Kenyataan tersebut dikeluarkan selepas Jawatankuasa Pengurusan Hutang (JPH) yang dipengerusikan oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng bersidang semalam untuk meneliti kedudukan hutang dan liabiliti kerajaan secara menyeluruh dengan mengambil kira obligasi tunai dan komitmen kewangan jangka masa panjang.
Dalam pada itu MOF berkata, kerajaan komited terhadap langkah konsolidasi fiskal, serta konsolidasi hutang dan liabiliti secara menyeluruh.
"JPH akan mengenal pasti langkah-langkah untuk mengurangkan hutang dan liabiliti kerajaan ke paras yang lebih terkawal, sambil meningkatkan kecekapan pengurusan hutang dan liabiliti.
"Ini termasuklah pengkajian semula projek berkos tinggi dan pengenalpastian jaminan yang ditanggung dan dibayar kerajaan yang boleh distruktur semula," katanya.
Katanya, langkah tersebut diperlukan kerana caj pembayaran balik hutang daripada pelbagai obligasi kewangan mengekang kerajaan daripada menyediakan peruntukan kepada program dan projek lain yang lebih produktif.
"Pada masa kini, terdapat hutang dijamin kerajaan yang mempunyai kadar pembiayaan sama dengan entiti korporat tempatan bertaraf ‘AAA’. Bagaimanapun, kos pembiayaan ke atas hutang yang dijamin kerajaan seharusnya hampir setara dengan kos terbitan kertas hutang kerajaan seperti Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS).
"Setakat 31 Mei 2019, kadar kupon MGS bagi tempoh 10 tahun adalah 3.78 peratus setahun dan ini adalah antara kadar terendah sejak beberapa tahun kebelakangan ini,” jelasnya.
Di samping itu MOF berkata, jawatankuasa tersebut juga akan menyemak semula segala akta, prosedur dan perundangan yang berkaitan dengan hutang langsung kerajaan, jaminan kerajaan dan komitmen lain.
"Langkah konsolidasi fiskal akan diteruskan bagi memastikan kerajaan mempunyai ruang fiskal yang mencukupi bagi menghadapi sebarang krisis pada masa hadapan, tanpa menjejaskan pasaran kewangan domestik, sambil menyokong pertumbuhan ekonomi negara.
"Dengan langkah-langkah ini, kerajaan yakin penarafan kredit ‘A3’ dan ‘A-‘ bagi Malaysia dapat dikekalkan,” katanya.
JPH dibarisi oleh Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr Ismail Bakar: Ketua Perbendaharaan Negara, Datuk Ahmad Badri Mohd Zahir; Ketua Setiausaha Kementerian Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Saiful Anuar Lebai Hussen, Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus dan Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Sekuriti, Datuk Syed Zaid Albar.
Selain itu, Pengerusi Kumpulan Permodalan Nasional Berhad (PNB), Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz, Akauntan Negara, Datuk Saat Esa, dan Pengerusi Eksekutif PricewaterhouseCoopers (PwC), Datuk Mohammad Faiz Azmi.