JOHOR BAHRU - Kerajaan menjamin bekalan makanan mencukupi bagi menampung keperluan pada musim perayaan termasuk Aidilfitri dan Hari Gawai.
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub berkata setakat ini tiada aduan bekalan tidak mencukupi yang diterima.
"Seperti dijanjikan kerjasama antara kementerian dan KPDNHEP (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna) sebelum ini kita telah janjikan bekalan bahan makanan mencukupi.
"Setakat ini tiada aduan barang tak cukup untuk sambut Aidilfitri. Kita juga telah tambah bilangan hari sebelum dan selepas untuk kawalan harga termasuk Hari Gawai dan Pesta Kaamatan," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program Jualan Jimat Belanja Aidilfitri di Pasar Tani Datin Halimah, hari ini.
Katanya, berdasarkan tinjauan dibuat sendiri mendapati harga ditawarkan berpatutan malah ada peniaga yang menawarkan harga jauh lebih rendah daripada paras harga ditetapkan kerajaan.
"Tahun ini rakyat dapat beli barang dengan jauh lebih rendah berbanding tahun lalu. Misalnya ayam, ada peniaga jual RM6.50, RM5.50 sekilogram jika banding harga ditetapkan RM7.50.
"Kita akan terus pantau supaya makanan itu bukan sahaja murah tapi selamat. Kita tak mahu rakyat makan benda yang tak selamat," katanya.
Sementara itu Timbalan Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) Johor, Shahrizan Sudiman berkata orang ramai boleh menikmati potongan harga sehingga 20 peratus bagi produk di Pasar Tani Khas sempena Aidilfitri yang bermula semalam.
"Kita laksana Pasar Tani Khas di 34 lokasi seluruh daerah daripada 31 Mei sehingga 4 Jun ini bermula jam 7 pagi hingga 12.30 tengah hari.
"Harga ditawarkan juga lebih rendah 5 hingga 20 peratus daripada pasaran tempatan," katanya
Fama menyasarkan jualan melebihi RM500,000 sepanjang lima hari tersebut.