KUALA LUMPUR - Peguam menyifatkan hukuman penjara 12 bulan terhadap seorang pembantu stor yang digelar `abang botak’ adalah terlalu berat.
Adzly Ab Manas yang merupakan peguambela dan peguamcara berkata, memandangkan kesalahan abang botak atau nama sebenarnya, Danial Abdullah Tan, 31, merupakan kesalahan pertama sepatutnya hukuman kepada pesalah perlulah bersifat memberi pengajaran dan bukan hukuman penjara semata-mata tanpa mengambil kita 'siapa timun siapa durian' semasa kejadian.
"Saya pernah jadi mat kapcai (budak motosikal) dan faham perasaan mereka bila kereta menghimpit motor kita. Hati akan jadi lagi panas bila kereta yang menghimpit motor kita itu buat tak tahu sahaja dan terus berlalu.
"Selalunya semangat 'brotherhood mat motor' sangat erat sebab sesama kita faham situasi bila kena himpit macam ini. Saya secara peribadi merasakan hukuman 12 bulan penjara terhadap abang botak adalah terlalu berat," katanya melalui kenyataan hari ini.
Malah katanya, justifikasi menjatuhkan hukuman mestilah ditimbang dengan faktor-faktor mitigasi.
"Beliau telah diasak dan dihimpit dua kali oleh kereta yang dipandu pengadu. Bukan itu sahaja, pengadu dikatakan telah menunjukkan jari kepada abang botak dan ini merupakan satu tindakan provokasi," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Abang botak sambut Syawal dalam penjara
Selain itu, Adzly yang juga Setiausaha Agung Persatuan Perjuangan Masyarakat Kota (Perkata) berkata, skil peguam menasihati anak guam amat penting dan jangan semata-mata mengajak anak guam terus membuat pengakuan salah.
"Ada ketika, baik jika memohon kes dibicarakan supaya peguam faham semua bukti dan fakta kes," katanya.
Semalam, Danial dikenakan hukuman penjara 12 bulan selepas disabitkan kesalahan memecahkan cermin hadapan sebuah kereta menggunakan topi keledarnya.