Bapa mangsa penumpang Lion Air saman Boeing

Iklan
Penyiasat memeriksa bahagian enjin pesawat JT 601 yang ditemui.
CHICAGO - AMERIKA SYARIKAT. Seorang lelaki warga Indonesia yang anaknya terbunuh dalam nahas Lion Air, JT 601 telah memfailkan saman terhadap Boeing Co selepas mendakwa kecacatan reka bentuk pesawat 737 MAX 8 menjadi punca tragedi yang meragut nyawa 189 penumpang pada 29 Oktober lalu.

Tuntutan undang-undang itu difailkan pada Rabu lalu di Circuit Court of Cook County, Illinois oleh bapa kepada Dr Rio Nanda Pratama.

Menurut peguamnya, Curtis Miner dari firma guaman Colson Hicks Eidson berpusat di Florida, Boeing didakwa tidak memberi amaran kepada Lion Air atau juruterbang tentang keadaan reka bentuknya yang tidak selamat.

Dr Rio yang sepatutnya berkahwin pada minggu ini dilaporkan menaiki pesawat tersebut untuk pulang selepas menghadiri persidangan.

Penyiasat Indonesia dijangka menerbitkan laporan awal nahas tersebut pada akhir bulan ini. - Reuters