HULU SELANGOR - Hukuman penjara 12 bulan terhadap 'Abang Botak' atas kesalahan melakukan khianat dengan memecahkan cermin sebuah kereta perlu diberi pertimbangan sewajarnya.
Jolokan nama 'Abang Botak' diberikan netizen selepas video tindakan lelaki berkenaan atau nama sebenarnya Danial Abdullah Tan tular di media sosial.
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Cabang Hulu Selangor, Saifuddin Shafi Muhammad berkata, hukuman melanggar undang-undang perlu bersifat mendidik dan memberi pengajaran bergantung kepada tahap kesalahan dilakukan.
Menurutnya, bagi kes 'Abang Botak, hukuman dikenakan dilihat terlalu berat bagi kesalahan pertama selain perlu mengambil kira faktor pendapatan dan tanggungan keluarga.
"Danial yang mengaku melakukan kesalahan dibawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan juga boleh dikenakan denda yang tinggi sebagai ganti kepada hukuman penjara 12 bulan.
"Sekiranya hukuman penjara dianggap paling bertepatan dengan kesalahan dilakukan itu maka perlu ada pihak tampil membantu untuk membuat permohonan penangguhan.
"Ini dapat memberi ruang kepada Danial membuat persediaan keperluan secukupnya untuk isteri dan anak yang akan melalui kehidupan tanpa ketua keluarga sepanjang dia menjalani tempoh hukuman penjara," katanya kepada Sinar Harian.
Saifuddin berkata, 'Abang Botak' mempunyai dua anak berusia satu dan tiga tahun selain bekerja sebagai pembantu stor.
Menurutnya, hukuman penjara akan memberi impak negatif terhadap keluarga berkenaan yang kini tertekan dengan kecaman netizen ekoran penularan video terbabit di media sosial.
"AMK Selangor melalui ketua-ketua AMK cabang berharap kejadian ini menjadi pengajaran yang bermanfaat kepada semua agar lebih tenang dan berhati-hati dalam tindakan.
"Namun pada masa yang sama, hukuman penjara bagi tempoh 12 bulan itu disifatkan terlalu berlebihan maka berharap ia dapat dikurangkan.
"Saya percaya pelaksanaan undang-undang akan mendewasakan Danial dan mempertingkatkan kesedaran rakyat di negara ini untuk menjadi warga negara yang baik," katanya.