JOHOR BAHRU - Bersatu Johor menyatakan sokongannya kepada saranan Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan, Tun Daim Zainuddin yang mahu pemimpin PH berbincang dahulu sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan.
Pengerusinya, Mazlan Bujang berkata, teguran dilontarkan bekas Menteri Kewangan itu harus diterima dengan berlapang dada sekiranya mahu pemerintahan PH bertahan lama.
"Itu teguran pemimpin veteran yang perlu diambil kira oleh pemimpin sekarang. Ia perkara yang baik untuk mengelakkan percanggahan pendapat dalam kalangan menteri. Jadi ada daripada perkara-perkara yang tidak memberikan impak besar kepada masyarakat, saya rasa tiada masalah untuk pemimpin keluarkan kenyataan terus.
"Tetapi ada perkara yang melibatkan dasar atau keputusan kerajaan, seharusnya perkara itu dibincangkan dalam kabinet dahulu, ataupun sekurang-kurangnya dapat persetujuan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Sinar Harian semasa menyempurnakan Program Kacau Dodol Mega Ahli Majlis Bandaraya Johor Bahru (Zon Kangkar Daya) di Aeon Bandar Dato Onn di sini hari ini.
Mazlan berkata, usaha mengenai perbincangan dalaman sebelum sebarang keputusan parti dibuat ini juga bukanlah perkara yang baharu malah telah diamalkan sejak pemerintahan kerajaan terdahulu.
"Ini (perbincangan keputusan) bukan perkara yang baharu dibuat, kerajaan dahulu pun macam ini, untuk apa? agar tiada kekeliruan dan percanggahan,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Teguran Daim perlu dipandang serius
Terdahulu, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, setiap menteri kabinet perlu muhasabah diri kerana tidak ada seorang pun bebas daripada melakukan kesilapan termasuk dirinya sendiri.
"Kita perlu sentiasa mengambil teguran seperti ini secara serius dan kita harus muhasabah diri kerana tidak ada seorang pun bebas daripada membuat kesilapan, termasuk diri saya.
"Teguran seperti disuarakan Tun Daim harus dipandang serius kerana beliau berpengalaman lama dalam arena politik dan pentadbiran negara,” katanya.