KOTA BHARU - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan mengeluarkan 663 notis saman membabitkan pelbagai kesalahan dalam tempoh seminggu Pra Operasi Hari Raya (Ops Sisih) bermula 22 Mei lalu.
Timbalan Pengarah JPJ negeri, Mohd Apandi Jusoh berkata operasi termasuk bagi kesalahan lesen memandu dan cukai jalan tamat tempoh, kenderaan berat lebih muatan selain lebih tertumpu kepada perkhidmatan awam bas ekspres.
"Tujuan utama kami mahu mengesan pemandu perkhidmatan awam itu dan pengusaha yang mempunyai saman lampau serta belum diselesaikannya.
"Pemeriksaan fizikal bas yang dilakukan juga mendapati masih ada bas yang menggunakan tayar yang sudah nipis serta cermin retak.
"Jadi, kami menggesa mereka supaya selesaikan saman lampau dan meminta mereka menukar tayar dan cermin sebelum beroperasi pada Aidilfitri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Operasi Khas Motosikal Siri I sempena Aidilfitri di Jalan Kubang Kerian-Kota Bharu di sini hari ini bermula jam 9 pagi.
Sebanyak 100 notis saman lagi dikeluarkan kepada penunggang motosikal pula yang kebanyakan atas kesalahan tamat cukai jalan.
Mohd Apandi berkata, Ops Sisih terbabit diadakan sempena Aidilfitri dengan menumpukan tujuh kesalahan utama iaitu bermain telefon sambil memandu, tidak memakai tali pinggang keledar dan topi kaledar, memotong kiri, menggunakan lorong kecemasan, memotong barisan, serta tayar nipis.
"Sebanyak empat siri atau dua sebelum, manakala dua lagi selepas Aidilfitri antara 22 Mei hingga 13 Jun depan.
"Operasi penyamaran lebih 20 anggota menggunakan perkhidmatan bas ekspres juga diteruskan bagi memantau dan mengesan kesalahan yang dilakukan pemandu perkhidmatan awam itu,” katanya.
Tambahnya, jabatan itu juga menempatkan anggota secara statik di lokasi yang kerap berlaku kemalangan terutama laluan Kota Bharu-Gua Musang, Grik-Jeli-Kota Bharu, serta Kota Bharu-Pasir Puteh.