ALOR SETAR - Perpecahan Melayu semakin serius, terutama perpecahan politik yang dilihat bermula dari peringkat pemimpin sehingga merebak ke akar umbi.
Presiden Teras Pengupayaan Melayu (Teras), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, perpecahan antara pemimpin semakin parah apabila mereka mula mengikut kelompok kepartian politik masing-masing.
Menurutnya, amat dikesali kerana pemimpin agama turut terheret dalam persengketaan antara Melayu sehingga akhirnya menjadi perbalahan politik.
"Kalangan agamawan pun ada yang gagal mengamalkan adab dalam perbezaan pendapat. Akibatnya pengikut yang setia kepada pemimpin agama dan politik tidak bertolenrasi ketika berhubung antara satu sama lain,” katanya.
Mohd Azmi berkata, orang Melayu perlu mengambil iktibar daripada perpecahan bangsa Arab yang berperang sesama sendiri sehingga mengakibatkan pertumpahan darah.
"Amat menyedihkan bangsa Arab berpecah melalui perancangan musuh Islam, akibatnya jutaan nyawa umat Islam yang tidak berdosa terkorban, manakala Israel menguasai Palestin,” katanya.
Menurutnya, pihaknya berharap semua pemimpin politik Melayu mengelakkan diri menyerang secara peribadi dan mengamalkan sikap terbuka dalam perbezaan politik.
"Politik fitnah dan politik fanatik kepartian perlu ditolak dan mengutamakan maslahat agama dan bangsa secara murni,” katanya.
Mohd Azmi berkata, semua agamawan pula harus memberi penekanan kepada perpaduan ummah yang tulen dan tidak ghairah menunjukkan perbezaan secara terbuka.
"Mereka harus menunjukkan hikmah paling tinggi dalam menangani perbezaan pendapat dan menyantuni krisis dihadapi umat Melayu,” katanya.
Menurutnya, manakala pemimpin organisasi Melayu pula harus memberi perhatian kepada peningkatan sosio-ekonomi serta menangani keruntuhan akhlak dengan melaksanakan ‘amar maaruf nahi mungkar’ secara bijak.
"Institusi media dan media sosial harus mengelak dari menjadi medan untuk dua pihak saling menyerang sesama sendiri. Ini termasuk semua pemimpin politik, aktivis masyarakat, cendekiawan, agamawan, budayawan, ahli profesional perlu sepakat menolak sikap fanatik, sebaliknya fokus kepada penghayatan budaya Islam,” katanya.
Mohd Azmi berkata, penekanan perlu diberi kepada memperbetulkan budaya hidup Melayu yang sarat dengan nilai negatif seperti mungkir janji, hasad dengki, pecah amanah, fitnah, malas dan membazir.