PERLAWANAN persahabatan Kelas A menentang Nepal, di Stadium Nasional Bukit Jalil esok, akan digunakan Tan Cheng Hoe untuk membina skuad yang hebat menjelang perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2022 dan Piala Asia 2023 berhadapan Timor Leste, dalam bulan ini.
Ketua jurulatih negara berusia 51 tahun itu berkata, beliau tidak memikirkan sangat keputusan perlawanan kerana memberi tumpuan untuk mendapatkan kombinasi terbaik ketika berhadapan Timor Leste dalam perlawanan penting itu, yang dijadualkan di tempat yang sama pada 7 dan 11 Jun ini.
"Esok hanyalah perlawanan ujian kerana saya masih mencari pilihan terbaik yang ada untuk perlawanan menentang Timor Leste. Berdasarkan perangkaan sejak Mac, Nepal telah meningkat dengan ketara dan kami perlu berhati-hati dengan mereka dan menumpukan perhatian kepada permainan kami, kata Cheng Hoe dalam sidang akhbar praperlawanan di sini hari ini.
Dalam hal ini, Cheng Hoe yakin pemain lain dapat mengisi kekosongan yang ditinggalkan dua pemain Muhammad Syahmi Safari dan Mohamadou Sumareh untuk perlawanan menentang Nepal dan Timor Leste.
Muhammad Syahmi mengalami kecederaan buku lali, sementara Mohamadou digantung empat perlawanan dan didenda AS$5,000 (RM20,894) oleh Persekutuan Bola Sepak ASEAN kerana membantah keputusan seorang pegawai perlawanan semasa perlawanan final kedua Piala Suzuki AFF menentang Vietnam di Hanoi, pada 15 Disember lepas.
Dalam pada itu, penjaga gol kebangsaan, Farizal Marlias bertekad memberikan aksi terbaik selepas diberi tanggungjawab sebagai kapten skuad Harimau Malaya buat julung kalinya untuk aksi persahabatan menentang Nepal dan pusingan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 menentang Timor-Leste.
Beliau yang baru sahaja pulih daripada demam pada masa sama, turut melaungkan keyakinan Malaysia mampu mencatat keputusan positif pada tiga perlawanan berkenaan.
"Saya mengambil tanggungjawab kapten pasukan sebagai satu amanah daripada ketua jurulatih dan saya mengharapkan rakan sepasukan dapat memberikan kerjasama untuk meningkatkan prestasi pasukan ke tahap lebih baik,” jelas penjaga gol Johor Darul Ta’zim itu.
Sementara Ketua Jurulatih Nepal, Johan Kalin berkata, perlawanan pemanas badan menentang Malaysia adalah platform terbaik buat beliau meningkatkan prestasi pemain-pemainnya untuk perlawanan akan datang termasuk kelayakan Piala Dunia 2022 dan Piala Asia 2023.
"Kami menjangkakan satu perlawanan yang mencabar berhadapan Malaysia esok, tapi saya fikir perlawanan ini dan perlawanan persahabatan seterusnya dengan Taiwan (pada 6 Jun) adalah langkah terbaik untuk meningkatkan pasukan ini ke kedudukan yang lebih baik,” kata warga Sweden berusia 41 tahun itu yang menyertai Persatuan Bola Sepak Nepal selaku jurulatih dengan kontrak dua tahun sejak 1 Mac lepas. - Bernama