OIC lantik Ibrahim Abdullah utusan khas proses damai Selatan Filipina

Iklan

MAKKAH - Bekas Duta Besar Malaysia ke Perancis, Datuk Ibrahim Abdullah telah dilantik sebagai Utusan Khas Setiausaha Agung Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) kepada Proses Damai di Selatan Filipina.

Pelantikan itu yang diterima oleh Sidang Kemuncak Islam (Sidang kemuncak OIC) dimasukkan ke dalam Pernyataan Akhir hari ini yang dipengerusikan oleh Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al Saud yang juga Penjaga Dua Kota Suci Islam.

Iklan
Iklan

"Datuk Ibrahim Abdullah mempunyai pengalaman selama 30 tahun dalam bidang diplomasi. Beliau juga adalah duta besar ke Jerman, Syria dan Pesuruhjaya Tinggi ke Nigeria," menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Luar Negeri.

Kenyataan itu juga berkata Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail telah memberi taklimat kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mengenai persidangan, di luar mesyuarat dan hasil Sidang Kemuncak tersebut.

Iklan

Timbalan Perdana Menteri mengetuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak OIC Ke-14 di sini pada 31 Mei bertemakan 'Sidang Kemuncak Makkah Al-Mukarramah: Berganding Bahu Ke Arah Masa Depan.”

Wan Azizah diiringi Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah, serta pegawai dari pejabatnya dan Kementerian Luar. Kenyataan itu menyebut bahawa semua negara anggota OIC menghadiri sidang kemuncak itu kecuali Syria kerana keanggotaannya digantung sejak 2012.

Iklan

Sidang kemuncak itu membincangkan secara mendalam mengenai isu-isu politik, ekonomi dan sosio-budaya yang dihadapi oleh umat Islam dan hanya sepuluh negara menyampaikan kenyataan negara iaitu Arab Saudi, Bahrain Kuwait, Jordan, Turki, Tunisia, Senegal, Nigeria, Bangladesh dan Pakistan.

Sidang kemuncak itu berakhir pada 1 Jun dengan menerima pakai tiga dokumen iaitu, Pernyataan Akhir, Resolusi mengenai Palestin dan Al-Quds Al-Sharif serta Deklarasi Makkah. - Bernama