BAHAU - Isi dagingnya yang lembut dan ‘gemuk-gemuk’ membuatkan sate yang dijual di gerai milik seorang Pegawai Bomba dan Penyelamat Bandar Seri Jempol menambat hati pelanggannya.
Mohd Fahmi Abdullah, 50, berkata, perniagaan sate yang diusahakan bersama isterinya, Rozirah Muhamad, 48, beroperasi berdekatan kedai makan di Medan Selera gerai Majlis Perbandaran Daerah Jempol (MPJL).
Menurutnya, dia menjalankan perniagaan itu lebih lapan tahun lalu sebagai pendapatan tambahan selain memerlukan perbelanjaan lebih untuk anak sulung yang sedang menyambung pengajian di universiti ketika itu.
"Bermula tahun 2010 kami terpaksa ambil inisiatif untuk menambah pendapatan selain gaji saya sedia ada. Maka saya dan isteri ambil keputusan berniaga sate.
"Sate kami dikenali sebagai sate bomba. Resepi perapan semuanya daripada isteri, dia yang siapkan bahan dari mula sampai selesai sebab dia mahu sate yang dihasilkan menepati citarasa dan selera pelanggan."Semua orang boleh makan, sate tidak keras sebaliknya lembut,” katanya kepada Sinar Harian.
Sate kekal harga 80 sen
Mohd Fahmi berkata, sate yang dihasilkan bersesuaian dengan harga malahan mengekalkan isinya yang padat.
Sate daging dan ayam dijual dengan harga 80 sen manakala ketupat pula 70 sen.
"Syukur, setakat ini kami dapat respon yang tidak mengecewakan sebab ramai kata sate kami sedap sampaikan ada yang menempahnya untuk majlis-majlis keramaian.
"Memang sebelum ini kami jual satu cucuk sate dengan harga 60 sen sahaja, pelanggan pula bising katanya tak berbaloi dengan rasa dan sate yang besar.
"Jadi kami naikkan kepada 70 sen, itu pun mereka kata masih murah dan tiada untung. Susulan itu kami kekalkan harga 80 sen sampailah sekarang,” katanya.
Sementara itu, katanya, sate kambing pula dijual pada harga RM1.60 secucuk malah sate ini adalah paling banyak mendapat permintaan untuk disajikan pada mana-mana majlis.
"Sate kambing agak mahal sedikit, jika harga daging, ayam sekilo sekitar RM10 tetapi daging kambing sekilo mencecah RM32.
"Pelanggan ada pilihan sekiranya ingin ubah selera selain makan nasi ataupun mi, mereka boleh makan sate juga masa makan tengah hari,” katanya.
Kini perniagaan tersebut diuruskan isterinya dan Mohd Fahmi akan membantunya selepas selesai waktu bekerja ataupun off duty.