SEORANG ibu diserang panik apabila menyedari terdapat tompok hitam besar di lelangit mulut anaknya.
Darian Depreta dari Amerika Syarikat sedang bermain bersama anak perempuannya Bella apabila dia ternampak tompok hitam tersebut.
Setelah gagal untuk menghilangkan tompok tersebut, Depreta segera membawa anaknya ke hospital.
Setibanya di hospital, Depreta menceritakan keadaan anaknya dan pada mulanya jururawat cuba untuk menanggalkan tompok tersebut namun gagal.
Doktor yang ditemui juga tidak dapat mengenal pasti tompok hitam itu namun menyatakan ia kemungkinan tanda lahir yang tidak disedari oleh Depreta sebelum ini.
Namun Depreta enggan percaya ia tanda lahir kerana dia sering memeriksa mulut anaknya dan membersihkannya.
Akhirnya keputusan diambil untuk merujuk situasi Bella kepada doktor pakar.
Seorang jururawat kemudian mencuba sekali lagi untuk menanggalkan tompok itu dan akhirnya 'kebenaran muncul'.
Ternyata tompok hitam di dalam mulut anak kecil itu adalah cebisan kotak yang terlekat pada lelangit mulutnya.
Lega tiada apa-apa yang buruk berlaku kepada anaknya, Depreta kemudian menjelaskan apa yang sebenarnya terjadi.
"Bella bermain dengan sebuah kotak ketika saya sedang berada di dapur, dan saya segera mengambil kotak tersebut daripadanya.
"Saya juga memeriksa mulutnya selepas itu namun tidak perasan terdapat satu cebisan yang terlekat di lelangit mulutnya," tulis Depreta di Facebook.
Menurut Depreta dia bukan sengaja membiarkan Bella bermain dengan kotak tersebut, namun anaknya yang sedang mahu tumbuh gigi akan menggigit apa sahaja yang ditemuinya. - Mirror.co.uk