Jenazah Ibu Ani Yudhoyono dikebumikan hari ini

Iklan
Jenazah Ibu Ani Yudhoyono tiba di Pengkalan Udara Halim Perdana Kusuma di Jakarta pada jam 10 malam tadi.- FOTO KOMPAS.COM

JAKARTA - Jenazah bekas Wanita Pertama Indonesia, Kristiani Herrawati, atau Ibu Ani Yudhoyono dilaporkan tiba di Pengkalan Udara Halim Perdana Kusuma di Jakarta pada jam 10 malam tadi.

Keranda membawa jenazah Ibu Ani tiba dari Singapura di mana beliau menerima rawatan sejak Februari lalu ekoran penyakit leukemia dengan pesawat tentera udara Hercules C-130.

Iklan
Iklan

Ketibaan jenazah yang diiringi suaminya, bekas presiden Susilo Bambang Yudhoyono dan dua anak lelakinya disambut menteri, pemimpin serantau dan juga ahli Parti Demokratik.

Jenazah Ibu Ani Yudhoyono terlebih dahulu dibawa ke kediaman keluarga di Cikeas, Bogor untuk majlis penghormatan.

Iklan

Seterusnya, jenazah Ibu Ani akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Wira Kalibata di Jakarta Selatan dengan penghormatan tentera yang diketuai oleh Presiden Joko Widodo (Jokowi).

Sementara itu, dalam satu kenyataan bertulis, anak sulung Ibu Ani, Agus Harimurti Yudhoyono mengucapkan terima kasih kepada keluarga, rakan-rakan serta seluruh rakyat Indonesia di atas ucapan takziah dan simpati ekoran pemergian ibunya.

Iklan

"Bagi pihak ibu, saya ingin memohon maaf sekiranya beliau pernah menyakiti perasaan anda dengan kata-kata mahupun perbuatan.

"Kami mohon doa anda agar dosanya diampunkan," kata Agus.

Agus menambah, hingga ke akhir hayatnya, ibunya sentiasa memikirkan tentang keluarga dan rakyat Indonesia.

Ibu Ani meninggal dunia pada jam 11.50 pagi semalam di Hospital Universiti Nasional, Singapura.- Jakarta Post

ARTIKEL BERKAITAN: Isteri Susilo Bambang Yudhoyono meninggal dunia