Seawal jam 6 pagi terpacak di ‘drawbridge’

Iklan
Kemeriahan sewaktu pelepasan kenderaan di jambatan angkat.

KUALA TERENGGANU - Datang seawal jam 6 pagi semata-mata ingin menjadi orang pertama melalui jambatan angkat atau ‘drawbridge’, menunjukkan antara keterujaan orang ramai terhadap ikon baharu Terengganu itu.

Dibuka kepada orang awam buat pertama kalinya hari ini bermula jam 7 pagi bagi tempoh percubaan selama 16 hari, hampir 500 kenderaan melalui jambatan itu pagi tadi.

Iklan
Iklan

Wan Amir Asyraf Wan Azman, 25, dari Kampung Kubang Jela, Manir berkata, dia bersama dua lagi rakannya bergegas ke drawbridge sebaik menunaikan solat Subuh, bagi menjadi orang pertama yang ‘merasmikannya’.

"Setakat ini di Malaysia belum ada lagi jambatan sebegini, jadi saya dan kawan-kawan nak cipta sejarah jadi orang pertama naik jambatan ini. Memang teruja sangat, tak sangka pula kami yang pertama sampai,” katanya.

Iklan

Bagi Amir Riduan Md Jaafar, 23, dari Kuala Ibai, disebabkan terlalu teruja ingin melalui drawbridge, dia sanggup menggunakan laluan jauh untuk ke tempat kerja semata-mata ingin menjadi antara orang terawal melalui jambatan itu.

"Saya terlalu teruja, (jambatan) comel sangat menyebabkan saya jadi bersemangat nak lalu biarpun kena lalu jauh ke tempat kerja.

Iklan

"Saya dan kawan-kawan sudah lama merancang nak lalu jambatan ini. Jadi, bila ia mula dibuka hari ini, kami beramai-ramai ke sini sebaik sahaja solat Subuh,” katanya.

Wan Amir Asyraf dan rakan-rakannya menunggu sejak jam 6 pagi bagi menjadi orang pertama melalui jambatan angkat. ( Gambar kecil: Wan Amir Asyraf Wan Azman)

Mokhtar Mohamad, 53, yang berasal dari Ladang berkata, dia sanggup menunggu laluan itu dibuka kerana ingin bersama-sama mencipta sejarah menjadi yang terawal melalui jambatan ikonik itu.

Dia sanggup ke jambatan itu dahulu sebelum meneruskan perjalanan ke tempat kerjanya di Tasik Kenyir, Hulu Terengganu.

"Saya nak tengok sendiri salah satu produk pelancongan baharu Terengganu ini, nak jadi antara orang yang terawal datang dan meneroka jalan baharu ini. Memang cukup menarik, kalau siapa yang datang Terengganu tapi tak melalui drawbridge, memang rugi,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Jambatan angkat ubah trend pelancongan di Terengganu

Terdahulu, Jambatan angkat atau ‘drawbridge’, merupakan ikon baharu Terengganu, akan mengubah trend kedatangan pelancong ke negeri itu yang selama ini lebih tertumpu di kawasan pulau.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Komunikasi Negeri Terengganu, Ariffin Deraman berkata pihaknya optimis kawasan daratan sekitar akan menjadi lokasi wajib disinggahi pelancong yang ingin menyaksikan keindahan jambatan angkat pertama di Asia Tenggara itu.