NEW DELHI - Penganjur sebuah pertandingan ratu cantik di India dikritik pelbagai pihak selepas peserta didakwa dipilih berdasarkan warna kulit mereka.
Kecaman itu diterima selepas akhbar The Times of India menerbitkan gambar kolaj 30 wanita mewakili negeri yang bertanding merebut gelaran ratu Femina Miss India yang mana kesemua mereka adalah berkulit cerah.
Iklan
Iklan
Aktivis, Muna Beatty menyifatkan pemilihan itu sebagai ‘naskhah tampal’ berikutan kesemua ciri fizikal peserta kelihatan sama iaitu rambut panjang hitam dan kulit cerah yang turut menjadi obsesi para gadis di negara tersebut.
"Pemilihan berat sebelah seperti itu boleh memberi kesan kepada kesihatan mental dan harga diri wanita yang mempunyai warna kulit lebih gelap.
"Terdapat golongan muda yang menonton pertandingan tersebut yang mungkin terkesan dan rasa rendah diri kerana pemilihan berdasarkan warna kulit seperti itu,” katanya.
Ia turut menerima pelbagai reaksi pengguna media sosial yang mendakwa peserta tidak mewakili kepelbagaian wanita di India termasuk di negeri selatan di mana kebanyakannya adalah berkulit gelap.
Menurut laporan Jurang Jantina Global Forum Ekonomi Sedunia, India menduduki tangga ke-108 daripada 148 negara dalam isu berkaitan kesaksamaan jantina. - Agensi