Penularan foto Mujahid berniat jahat

Iklan
Mohamad Hisham (tiga dari kanan) menunjukkan laporan polis yang dibuat di pekarangan IPD Kulai.

KULAI - Amanah daerah ini kesal dengan penyebaran foto Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mujahid Yusuf Rawa oleh seorang individu tidak bertanggungjawab di laman sosial Facebook.

Pengerusinya, Mohamad Hisham Mohamad Zin berkata, penularan gambar tersebut ternyata berniat jahat sekali gus mahu menjatuhkan maruah pemimpin berkenaan.

Iklan
Iklan

"Kami berasa kesal dan terkilan dengan penyebaran gambar Yang Berhormat (Mujahid) oleh individu berkenaan.

"Tindakan berkenaan seolah-olah menggambarkan beliau (Mujahid) merayakan dan mengambil bahagian dalam perayaan Thaipusam serta mengamalkan pluralisme dalam agama," katanya selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai, di sini.

Iklan
Foto yang dimuat naik seorang individu dilihat mahu menjatuhkan maruah pemimpin.

Mohamad Hisham berkata, tindakan tidak bertanggungjawab itu boleh menjejaskan imej kerajaan PH yang diterajui Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Kebebasan bersuara yang diberikan oleh kerajaan PH tidak bererti pembangkang dan penyokongnya mempunyai hak untuk menfitnah dan mengadu domba sehingga memecahbelahkan keharmonian antara kaum di negara ini," katanya.

Iklan

Justeru, beliau memohon kerjasama Polis Diraja Malaysia dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk menyiasat perkara tersebut dengan segera.

"Saya juga menggesa agar pemilik Facebook tersebut diheret ke muka pengadilan bagi memberikan pengajaran kepada warga maya yang lain agar lebih berhati-hati menyebarkan apa jua gambar, artikel dan tidak memfitnah," katanya.