ALOR SETAR - Kerajaan Kedah mengambil inisiatif melancarkan program Jualan Harapan Rakyat Pra-Syawal dalam usaha membantu meringankan beban rakyat membuat persiapan Aidilfitri.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, program ini menawarkan harga jualan komoditi barangan terpilih dengan penjimatan antara lima hingga 30 peratus lebih rendah berbanding harga pasaran.
Menurutnya, melalui program ini, rakyat dapat melakukan penjimatan sekali gus menangani kenaikan kos sara hidup menjelang Aidilfitri.
"Harga istimewa ditawarkan bagi meringankan kos penduduk setempat, antaranya, daging dijual pada RM30 sekilogram berbanding harga pasaran RM34. Ayam pada harga RM6.49 berbanding harga siling RM7.50 serta beras keluaran Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) RM11 untuk lima kilogram,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melancarkan program Jualan Harapan Rakyat Pra-Syawal peringkat negeri dan jualan jimat belanja Aidilfitri FAMA, di Pasar Tani Taman Wira Mergong, hari ini.
Mukhriz berkata, program dengan kerjasama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) itu turut melelong bawang besar pada harga runtuh, iaitu RM1.50 untuk setiap beg.
"Kita mahu meringankan perbelanjaan rakyat yang sedang membuat persiapan Aidilfitri kerana ramai pulang dari perantauan,” katanya.
Menurutnya, empat lagi lokasi terpilih jualan sehari ini adalah di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Jerlun dan Tapak Desaraya FAMA Kuala Ketil pada esok (Isnin), manakala hari berikutnya di Pasar Tani Kekal Kulim dan Parkir Pejabat Daerah Pokok Sena.
"Orang ramai perlu rebut peluang ini dengan cepat kerana ia dibuka bermula 7.00 pagi hingga 1.00 tengah hari sahaja, dan menawarkan lebih 50 jenis barangan asas,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, FAMA Kedah dalam kenyataannya memberi jaminan bekalan daging, ayam, ikan, sayuran, buah-buahan dan kelapa mencukupi bagi memenuhi keperluan pengguna sepanjang musim perayaan.
"Kita juga akan pastikan peniaga tidak menaikkan harga sewenang-wenangnya dan pemantauan berterusan dilakukan sepanjang musim perayaan,” katanya.